Saya tak buat salah - Zambry tak gentar tuduhan pembangkang

Shafiq Noordin
Februari 4, 2018 21:00 MYT
Zambry berkata, strategi Ketua Pembangkang DUN Perak yang mengulangi tuduhan sama berkaitan anugerah BrandLaureate, bonus dan pembelian kereta Audi, hanya bertujuan mewujudkan persepsi semata-mata. - Gambar fail
"Saya tidak gentar dan takut dengan tuduhan itu semua."
Demikian reaksi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika diminta mengulas strategi pembangkang mengulangi tuduhan terhadapnya konon berlaku salah laku dalam pentadbiran.
Menurutnya, tiada apa yang perlu ditakuti kerana semua tuduhan tersebut, khususnya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, bersifat fitnah semata-mata.
“Tidak perlu untuk saya takut kerana tiada kesalahan mahupun penyalahgunaan yang telah saya lakukan,” katanya.
Zambry berkata, strategi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengulangi tuduhan sama berkaitan anugerah BrandLaureate, bonus dan pembelian kereta Audi, hanya bertujuan mewujudkan persepsi semata-mata.
"Dia (Mohammad Nizar) bukan watak baru dalam pentas politik Perak. Rakyat boleh menilai sendiri bagaimana dia yang dikenali dengan peribadi Islamik boleh bercakap dan menuduh tanpa ada sifat malu serta bersalah.
"Kita akan terus jelaskan pada rakyat, kerana mereka yang tidak tahu perkara sebenar, akan percaya.
"Mereka lakukan semua ini dengan niat yang satu, tidak lain untuk mencetuskan kemarahan rakyat pada saya," katanya kepada media pada program Sembang Anak Muda Jee... Bersama Menteri Besar Perak di Dewan Kampung Dato' Seri Kamarudin, di sini, hari ini.
BACA: Dakwaan beli anugerah hanya fitnah murahan sang serangga perosak - Zambry
BACA: BrandLaureatte nafi dakwaan Amanah, gesa permohonan maaf segera
Tegas Zambry lagi, beliau seolah-olah sudah menjangkakan serangan habis-habisan pembangkang terhadapnya yang dibuat bertujuan menambah sokongan rakyat kepada pihak itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.
"Mereka menuduh tanpa rasa berdosa. Isu yang sudah dijawab berkali-kali diulang dan dihebahkan pada rakyat.
"Seperti juga isu bonus yang mereka gambarkan seolah-olah saya terima lebih RM100,000. Begitulah cara pembangkang memutarbelitkan fakta," katanya.
#fitnah #pembangkang #pilihan raya #serangan #Zambry Abd Kadir
;