'Saya tak bermaksud hina institusi raja' - Muhyiddin

Astro Awani
Ogos 19, 2024 17:00 MYT
Muhyiddin berkata, ucapan berkenaan adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut. - Gambar fail
SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak berniat menghina institusi raja.
Bekas Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan memaklumkan ucapan berkenaan adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” kata Presiden Bersatu itu menerusi Facebook pada Isnin.
Beliau turut berjanji memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan yang dikeluarkan.
Sebelum ini, Muhyiddin didakwa menyentuh isu 3R iaitu berkaitan kaum, agama dan raja ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Susulan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada jam 10.38 malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis telah menerima 30 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara tersebut.
Katanya, polis dijangka merakam keterangan Muhyiddin di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jalan Sentral, Kuala Lumpur pada Selasa.
#Muhyiddin Yassin #hina sultan #PRK Nenggiri #Yang di-Pertuan Agong