'Saya sudah jangka Pakatan Rakyat akhirnya 'tutup buku'' - Mas Ermieyati

Wan Syamsul Amly
Jun 18, 2015 09:34 MYT
MAS ERMIEYATI: Pakatan Rakyat sudah tidak dapat membendung masalah dan akhirnya semua parti gabungan di dalamnya 'meletup'.
Krisis dalaman Pakatan Rakyat (PR) yang membawa kepada perpecahan gabungan parti PAS,PKR dan DAP sebenarnya sudah lama dijangka.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keretakan itu sudah tidak dapat dibendung dan disembunyikan lagi sehingga situasi kini disifatkan terlalu kritikal bagi Pakatan Rakyat.
"Saya lihat apa yang berlaku sebenarnya sudah lama dijangka. Mereka sudah tidak dapat membendung masalah itu dan akhirnya semua parti gabungan di dalamnya 'meletup'. Saya sudah jangka akhirnya mereka akan 'tutup buku'.
"Perpecahan ini sekali gus membuatkan ramai yang kecewa. Walaupun pimpinan atasan mereka masih lagi cuba memberikan harapan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Saya lihat apa yang berlaku sebenarnya sudah lama dijangka. Mereka sudah tidak dapat membendung masalah itu dan akhirnya semua parti gabungan di dalamnya 'meletup'
BACA: Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi secara formal - Wan Azizah
Mas Ermieyati mengulas kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam yang memutuskan gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal.
Kata Wan Azizah, tindakan itu diputuskan selepas PAS menerima usul menamatkan kerjasama dengan DAP tanpa bahas di Muktamarnya yang ke-61 baru-baru ini, dan berikutan tindakan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang mengumumkan penamatan riwayat PR.
Wan Azizah juga berkata PKR kesal dengan tindakan kedua-dua parti itu dan menganggap ia dilakukan dengan tergesa-gesa.
Dalam pada itu jelas Mas Ermieyati, kesetiaan bersama permuafakatan serta solidariti merupakan ramuan utama semangat bersatu padu di dalam keluarga Barisan Nasional (BN).
"Semangat ini yang tidak ada di dalam PR. BN dan UMNO sendiri yang sudah lama memerintah juga membuktikan kejayaan pentadbiran yang mengutamakan rakyat," katanya.
Awal bulan ini, Muktamar PAS telah meluluskan resolusi agar parti itu memutuskan hubungan dengan DAP setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana mendakwa pemimpin PAS itu tidak berbincang dengan anggota PR lain mengenai rancangannya untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
PAS pula mendakwa para pemimpin DAP menyerang kepimpinan Abdul Hadi dan ini mendorong parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.
Guan Eng juga menyebut beberapa peristiwa besar sebelum ini, termasuk krisis Menteri Besar Selangor dan keputusan yang dicapai dalam Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat, yang telah dicabuli Abdul Hadi hingga menyebabkan pakatan itu hampir lumpuh.
Bagaimanapun Guan Eng berkata, DAP akan terus bekerjasama dengan PKR dan pihak lain bagi menawan Putrajaya daripada BN pada pilihan raya umum akan datang.
BACA: Pakatan pembangkang perlu dirombak semula - Mohamed Hanipa
Sebelum ini, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata, pembangkang perlu mewujudkan pakatan baru sebagai alternatif kepada PR yang telah rapuh bagi menghadapi BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Jelasnya, apa saja usaha perlu dilakukan untuk memastikan kerjasama antara parti pembangkang terus relevan dalam arena politik di Malaysia.
Dalam pada itu, kata penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain, keretakan hubungan di dalam PR sehingga menyebabkan DAP mengambil keputusan untuk keluar dilihat langkah awal yang memungkinkan penubuhan parti khusus untuk orang Cina.
BACA: 'DAP mungkin ajak MCA dan Gerakan buat parti orang Cina'
Tegasnya, DAP berkemungkinan akan memanggil MCA serta Gerakan yang berada di dalam BN untuk bersama mereka dalam penubuhan pakatan baharu.
Sementara itu, Mas Ermieyati meminta ahli UMNO mengambil teladan daripada krisis PR.
"Semua ahli parti kena menguatkan lagi tekad dan kerja. Kita mahu semua merapatkan barisan dan terus bergerak ke hadapan demi menjamin kekuatan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti," jelasnya.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alahabshee sebelum ini dilaporkan memberitahu kehancuran PR sudah diduga kerana selama ini mereka diibarat 'tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain'.
BACA: Sudah diduga Pakatan Rakyat akhirnya berkubur - Syed Ali
#Mas Ermieyati #Pakatan Rakyat #Wan Azizah