'Saya sentiasa konsisten dalam pendirian saya' - Ku Li
Astro Awani
Mac 28, 2016 21:13 MYT
Mac 28, 2016 21:13 MYT
Ahli veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata, beliau sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai tatacara pemerintahan negara serta perlunya perubahan.
Katanya, perkara itu merupakan intipati perjuangan beliau di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987.
"Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten di hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang.
"Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tengku Razaleigh mengulas tentang tindakannya menandatangani Deklarasi Kelantan, yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tindakan itu dilihat sesetengah pihak sebagai tindakan 'berpaling tadah' terutama oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, tindakannya itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti, justeru tidak timbul isu menyokong kerajaan yang memerintah dan memberi sokongan kepada ketua kerajaan.
Bagaimanapun, Tengku Razaleigh berkata beliau amat peka dan sedar tentang masalah yang dihadapi negara seperti hutang negara dan akibatnya, terutama sekali kesannya terhadap kehidupan seharian rakyat.
Oleh itu, beliau mengingatkan bahawa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara serta pelaksanaan tugas dan tanggungjawab awam tidak dapat dielakkan, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi itu.
"Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan.," katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan setiap pengamal politik dan Ahli Parlimen untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha dalam menangani perubahan yang diperlukan itu.
Tengku Razaleigh telah menandatangi Deklarasi Kelantan itu bersama Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa serta wakil-wakil Barisan Nasional yang lain.