'Saya sedih dengan gelagat Tun Mahathir' - Abdul Rahman Dahlan
Wan Syamsul Amly
Jun 12, 2016 18:25 MYT
Jun 12, 2016 18:25 MYT
Kelantangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pentas pembangkang sudah tidak boleh dimarahi lagi, malah kini sampai ke tahap yang menyedihkan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, Dr Mahathir juga sudah diibarat seorang negarawan yang kehilangan pedoman politik.
"Saya rasa kita sudah sampai tak boleh marah, kita kasihan dan berasa sedih sebab seorang negarawan yang kita sanjung buat pusingan 180 darjah dan sekarang ini bersekongkol dengan pembangkang.
"Apa yang diajar selama 22 tahun menjadi perdana menteri dan presiden UMNO nampaknya telah dibuang begitu sahaja," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Program Komuniti 3R 'Kuale' di sini hari ini.
Pada majlis sama, Abdul Rahman mengumumkan kelulusan pembinaan Mini Arena di Rancangan Perumahan Awam Fasa 4 yang menelan belanja RM500,000.
Dalam pada itu katanya, Dr Mahathir tidak perlu meletakkan syarat seandainya mahu masuk UMNO semula.
"Kita mahu dia secara rela masuk balik UMNO, bukan memberi syarat atau apa sahaja.
"Kita mahu Tun Mahathir merasa untuk meraikan kemenangan BN di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) ini," jelasnya.
Pada Ahad, Dr Mahathir berkata akan mempertimbang menyertai semula UMNO jika presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari parti Melayu itu.
Kata Dr Mahathir, penyingkiran Najib itu perlu dilakukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum beliau mempertimbang untuk menyertai semula parti.
Pada Sabtu Ahmad Zahid berkata Majlis Tertinggi (MT) UMNO sedia untuk mempertimbangkan penyertaan semula Dr Mahathir ke dalam UMNO.
Sementara itu, ketika mengulas kekuatan pembangkang di Kuala Kangsar, Abdul Rahman berkata pembangkang tidak mempunyai manifesto yang mantap semasa kempen kali ini.
"Pembangkang tidak mempunyai trek rekod yang baik, tiada bukti membuat pembangunan di sesuatu kawasan.
"Walaupun Barisan Nasional (BN) bukan 100 peratus sempurna namun sudah banyak pembangunan yang dibuat kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan selama ini," jelasnya.