'Saya sedia tentang taktik buruk UMNO' - ADUN Rembia

Sinar Harian
Julai 20, 2024 07:00 MYT
Muhammad Jailani memberi amaran akan mendedahkan taktik buruk parti itu di mahkamah kelak.
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan beliau bersedia untuk diheret ke mahkamah oleh UMNO susulan penyertaanya dalam Pas, minggu lalu.
Malah beliau turut memberi amaran akan mendedahkan taktik buruk parti itu di mahkamah kelak.
"Saya bersedia mendedahkan dan menentang setiap taktik buruk UMNO yang tidak selari dengan undang-undang dan tidak berperlembagaan demi kebaikan ramai lagi ahli yang lain.
"Saya bersedia membersihkan ini di mahkamah," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberi peringatan bahawa setiap calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya telah menandatangani Perjanjian Perwakilan Calon BN.
Perjanjian tersebut mengandungi akuan bersumpah daripada semua calon yang turut dinyatakan ahli yang menukar parti perlu membayar RM100 juta kepada BN.
Sebagai rekod, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 16 Julai lalu mengumumkan Muhammad Jailani menyertai parti itu secara rasmi pada 10 Jun 2023.
Takiyuddin menjelaskan, keputusan Muhamad Jailani yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023. - Sinar Harian
#Adun Rembia #UMNO #Muhammad Jailani #PAS