'Saya sedar ada kelemahan, bukan calon popular' - Mat Sabu

Hasimi Muhamad
Disember 24, 2023 19:54 MYT
Mohamad berada di kedudukan kelapan dengan undian sebanyak 613 dalam Jawatankuasa Pimpinan Amanah bagi sesi 2023 hingga 2026.
KLANG: Datuk Seri Mohamad Sabu mengakui mempunyai kelemahan dalam kepimpinannya dan menyedari beliau bukan calon 'popular' dalam kalangan perwakilan.
Begitupun, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, yang dilantik mengekalkan jawatan tersebut bagi penggal 2023/2026 menegaskan, 26 Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah yang baharu meletakkan kepercayaan kepadanya untuk terus mengemudi parti itu kerana sedar kekuatan yang dimilikinya.
Jelas beliau, mengikut Perlembagaan Parti Amanah, ini merupakan penggal terakhir untuk beliau menjawat jawatan nombor satu parti itu sebelum diserahkan kepada pemimpin lain.
"Seperti biasa, syura melihat kelemahan dan ada yang mengatakan ada kekuatan dari satu segi, dan minta saya memimpin pada tiga penggal lalu (sejak 2015).
"Kemudian bila jadi menteri dan pemimpin, banyak melakukan kesilapan dan kelemahan. Dan sekali lagi saya tidak menjadi pilihan nombor satu sebaliknya nombor lapan.
"... dan setelah mesyuarat tadi, syura dan pandangan termasuk menegur kelemahan saya secara langsung. Saya dan Mujahid (Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa) tak bercakap apa. Mereka buat keputusan seperti yang diumum tadi.
"Saya tahu dengan segala kelemahan in... dan saya akan memimpin bersama dengan rakan-rakan," katanya ketika menyampaikan ucapan Penangguhan Presiden bagi 2023/2026 di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata Amanah perlu mengukuhkan hubungan dengan parti-parti gabungan termasuk PKR, DAP, Barisan Nasional (BN), serta parti Sabah dan Sarawak.
Justeru, Ahli Parlimen Kota Raja itu menambah pemimpin yang akan mengemudi Amanah pada masa depan perlu mencari jalan untuk menguatkan gabungan berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"... Presiden nanti adalah orang lain, dan bukan Abang Mat lagi. Kita dapat belajar sebaik mungkin dalam masa ini untuk melebarkan pengaruh terutama sekali Islam dan rahmah.
"Kita juga kena bersedia menghadapi suasana baharu perubahan geopolitik dunia yang sedang berlaku ini," tambah beliau.
Terdahulu, Mohamad berada di kedudukan kelapan dengan undian sebanyak 613 dalam Jawatankuasa Pimpinan Amanah bagi sesi 2023 hingga 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendapat undian tertinggi yang dipilih perwakilan melalui undian e-voting dengan memperoleh 900 undi.
Sementara itu, Mujahid dalam ucapan penggulungan pula berkata, keputusan yang dibuat bagi mengisi lima jawatan tertinggi parti diputuskan secara konsensus.
Beliau yang juga Senator Dewan Negara menegaskan, pelantikan kepimpinan Amanah bagi sesi 2023/2026 disifatkan sebagai tanggungjawab besar yang perlu dipikul untuk mengukuhkan kekuatan parti secara dalaman dan luaran.
"Saya dan juga presiden (Mohamad), kebetulan dua-dua dari Pulau Pinang dan kebetulan nama bermula dengan huruf M...
"Tetapi apa yang lebih penting daripada itu, kami telah berjanji dalam keputusan yang diputuskan tadi, yang lebih penting adalah kita semua bersetuju untuk memastikan Amanah berada di persada dan dihormati oleh pihak lawan dan kawan.
"Selesai sudah proses pemilihan... hari ini saya menyarankan proses sekarang ialah bekerja untuk memastikan Amanah beradai di persada. Semua sayap Wanita, Pemuda dan Warda... apa yang telah diberikan isyarat oleh semua perwakilan," ujar beliau.
#pemilihan Amanah #Konvensyen Amanah #Mohamad Sabu #presiden amanah
;