'Saya satu-satunya calon tempatan pada PRK Kuala Kangsar' - Syed Rosli

Astro Awani
Mei 31, 2016 05:07 MYT
Syed Rosli mengisytiharkan akan bertanding sebagai calon Bebas - Gambar fail
Barisan Nasional (BN) seharusnya meletakkan anak tempatan dan tidak meletakkan calon yang bukan berasal dari Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Jun ini.
Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, pucuk pimpinan BN juga dilihat membuat kesilapan dengan mencalonkan balu Wan Mohammad Khair-il, Datin Mastura Mohd Yazid.
"Ia merupakan satu penghinaan bagi ahli-ahli UMNO Bahagian Kuala Kangsar seterusnya pengundi Kuala Kangsar sendiri.
"Pertama, Datin Mastura bukannya warga tempatan di mana dia berasal dari Rembau dan bukannya Kuala Kangsar.
"Kedua, Datin Mastura yang baru kematian suami berada didalam keadaan edah di mana di dalam Islam dilarang keluar rumah kecuali untuk mencari rezeki.
"Jadi bagaimana UMNO boleh memilih calon yang tidak boleh keluar berkempen? " katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan Mastura sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.
Justeru Syed Rosli menegaskan, sebagai anak jati Kuala Kangsar, sudah tiba masanya anak Kuala Kangsar sendiri dicalonkan sebagai calon Ahli Parlimen di sana.
"Perkara sama berlaku dengan calon Pas di mana bukan warga tempatan. Saya juga mengisytiharkan akan bertanding sebagai calon Bebas.
"Saya yakin memperolehi undi dari kaum Cina, atas pagar dan juga undi dari ahli-ahli UMNO yang sama tidak berpuas hati dengan calon ini," jelasnya.
Dalam pada itu ketika ditanya risiko dan amaran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan memecatnya dari UMNO jika meneruskan hasrat menjadi calon Bebas, ini katanya;
"Bertanding bebas memanglah kena pecat, Sedia dipecat, mati pun saya sudah sedia."
Pada pilihan raya umum ke-13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini berikutan kematian Wan Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
#Mastura Mohd Yazid #PRK Kuala Kangsar #Syed Rosli
;