'Saya raikan perbezaan pendapat' - Zahid
Bernama
Januari 31, 2023 23:49 MYT
Januari 31, 2023 23:49 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli UMNO, namun tidak akan berkompromi sekiranya ada antara mereka menyentuh soal integriti parti itu.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana beliau amat mementingkan kesatuan dalam parti berkenaan.
"Saya meraikan perbedaan pendapat, silakan bercakap tetapi apabila integriti parti disentuh, saya tidak boleh berkompromi lagi dalam perkara ini, yang penting ialah soal kesatuan dalam parti itu.
"Penyatuan pemikiran dalam kalangan kepimpinan, penyatuan hati nurani dalam kalangan kepimpinan, penyatuan tindakan pelaksanaan kepada aktiviti jentera parti ini harus diutamakan dan ini mungkin sukar difahami tetapi tidak sukar untuk saya laksanakan," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata dalam sesebuah parti, tidak seharusnya ada 'gunting dalam lipatan' atau 'duri dalam daging'.
"Serangan bukan hanya datang dari luar (parti), kita kenal musuh di luar, kita kenal juga musuh di dalam, baling batu sembunyi tangan sangat banyak, tetapi saya harus bersangka baik dengan semua orang dalam perkara ini.
"Tetapi sebagai seseorang yang diberikan amanah untuk memimpin sebuah parti terbesar orang Melayu dan Islam, adakah saya mahu membiarkan keadaan itu terus berlaku? Saya mesti berusaha bukan saya benci, tidak ada satu zarah, satu molekul rasa benci kepada mana-mana individu, tetapi parti mesti diselamatkan," katanya.
-- BERNAMA