Saya pun ada banyak 'fail' pemimpin kerajaan - Hamzah
Agensi
Mac 12, 2023 15:06 MYT
Mac 12, 2023 15:06 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu kerap mencari kesalahan pembangkang.
Menurutnya, sebagai bekas Menteri Dalam Negeri, beliau juga boleh mencari kesalahan pemimpin kerajaan.
Tambahnya, beliau juga ada banyak ‘fail’ pemimpin kerajaan, namun beliau menegaskan masih berfikir sama ada mahu menggunakannya atau tidak.
Ahli Parlimen Larut itu juga mengkritik tindakan kerajaan yang menafikan pendakwaan politik, namun menyasarkan Perikatan Nasional (PN) dengan tuduhan berkaitan dana politik.
“Sesiapa sahaja boleh menderma kepada sesebuah parti jika mereka yakin dengan perjuangan dan perjuangan parti.
“Jadi, jika anda (kerajaan) mengganggu kami, maka kami menganggapnya sebagai penganiayaan politik.
“Jangan hanya mencari kesalahan kami, saya juga boleh mencari kesalahan mereka dalam kerajaan.
“Saya adalah (bekas) Menteri Dalam Negeri dan saya juga mempunyai banyak fail, tetapi saya masih berfikir jika saya perlu menggunakannya,” katanya dalam temu bual khas bersama akhbar The Star.
Begitupun, tegas Hamzah, jika kerajaan terus mengganggu PN dan membuat mereka kecewa, tidak mustahil ‘fail-fail’ tersebut akan didedahkan.
Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, kenyataan itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini.
Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.
Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi PN dan bekas Perdana Menteri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.