Saya pilih Pakatan Harapan kerana ia gabungan parti, lebih berdaya saing - Nik Omar
Vivi Sumanti
Mei 2, 2018 10:06 MYT
Mei 2, 2018 10:06 MYT
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz mendedahkan, tindakannya bertanding atas tiket PKR adalah kerana Pakatan Harapan merupakan satu gabungan yang terdiri daripada beberapa parti.
Ia bukan hanya dibentuk oleh satu parti, oleh itu, katanya, Pakatan Harapan dilihatnya lebih berdaya saing dengan kekuatan gabungan yang ada, berbanding sebuah sebuah parti yang bersendiri.
“Sebab, antaranya, kekuatan gabungan yang ada ini perkara yang pernah ditegaskan ayahanda Tok Guru lagi.
"Maknanya, kita dalam bidang politik, kalau bersendirian, kita tak mampu untuk menang banyak kerusi, apatah lagi memerintah Malaysia.
"Tetapi, dengan gabungan empat parti ini, ada kekuatan masing-masing. Sebab itu saya bersama Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Ditanya sama ada penyertaannya dalam Pakatan Harapan mendapat cacian, Nik Omar berkata, beliau dinasihatkan oleh salah seorang rakannya supaya bersedia menerima caci maki.
Perkara itu, baginya, diterima dengan lapang dada.
Katanya, beliau tidak keluar dari Pas, sebaliknya dipecat kerana tindakannya.
Bahkan, tambah Nik Omar, tindakannya itu bukannya satu kesalahan di sisi agama, seumpama keluar dari Islam, sebaliknya terpecat dari sebuah organisasi.
Katanya, Allahyarham ayahnya Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berpesan bahawa sesebuah organisasi itu tidak kekal.
“Organisasi tak kekal. Sebab itu, Tok Guru pernah sebut, kalaulah UMNO tukar dasar, Pas terbubar dengan sendiri.
"Macamana boleh terbubar kalau ia (melibatkan) dasar? Maknanya, ini hanya alat atau wadah. Jadi, bertukar (parti) tak ada masalah. Saya tak keluar (Pas), saya dipecat. Tak ada masalah,” katanya dengan tenang.
Katanya, beliau mengambil tempoh sebulan membuat keputusan untuk bertanding selepas melakukan solat hajat dan solat istikharah bagi meminta panduan Allah, serta turut mengambil kira pandangan rakan-rakan.
Beliau menjelaskan, hubungan dengan keluarganya tetap baik, bahkan beliau turut menemui ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
“Alhamdulilah. Ambo sebut sebelum ini, kalaulah adik-beradik ada 10 orang, anak kelima pergi jumpa bonda dulu, ambo dan anak-anak lain pergi jumpa juga dengan bonda," tambahnya.
BACA: Ada apa dengan Nik Omar?
Nik Omar menjelaskan, beliau selaku Pengetua Madrasah Darul Anuar akan mengajar seperti biasa hari ini di mana perhimpunan mingguan akan diadakan seperti biasa dengan pelajarnya.
Sekolah tersebut terletak bersebelahan dengan Masjid Pulau Melaka dan rumah keluarga arwah Nik Aziz.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau tidak pulang ke rumahnya di Pulau Melaka.
Dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, Nik Omar akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Fareez Noor Amran dan calon Pas, Ahmad Fathan Mahmood.
#berdaya saing
#bergerak sendiri
#gabungan parti
#keluarga
#MalaysiaMemilih
#Nik Abdul Aziz Nik Mat
#Nik Omar Nik Abdul Aziz
#Parti Amanah Negara
#PAS
#politik
#PRU14