'Saya nak tengok banyak mana undi UMNO di Langkawi' - Tun M

Wan Syamsul Amly
April 17, 2018 17:10 MYT
Dr Mahathir ketika sidang media di bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melihat tahap sokongan UMNO di Langkawi apabila memutuskan keputusan untuk bertanding di Parlimen berkenaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memberitahu, bertanding di Langkawi juga sebenarnya sudah lama menjadi niatnya sendiri.
Dr Mahathir turut melahirkan keyakinannya yang boleh menang di mana-mana kawasan termasuk Kubang Pasu atau Putrajaya.
"Itu saya ingat, kalau pergi Kubang Pasu pun saya boleh menang. Sebab itu awal-awal lagi saya kata, mungkin Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya, atau mana-mana tempat lain.
"Daripada awal pun saya niat hendak bertanding di Langkawi, pasal di Langkawi, UMNO menang dahulu dengan 11,000 undi. Kita hendak tengoklah banyak mana dia nak dapat (kali ini)," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di sini, hari ini.
BACA: Percaturan Dr Mahathir bertanding di Langkawi boleh 'makan diri' - Penganalisis
BACA: 'Pengundi tak mahu Tun M ubah Langkawi jadi Hawaii' - Penganalisis
Ahad lalu, mantan perdana menteri itu diumumkan akan bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi merebut kerusi Parlimen Langkawi yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Kerusi Langkawi disandang Datuk Nawawi Ahmad, yang juga Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini menegaskan, BN negeri itu tidak gentar berdepan Dr Mahathir mahupun anaknya Datuk Seri Mukhriz di Langkawi dan Jerlun.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU13 lima tahun lalu.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinasihatkan untuk tidak menyertai politik sebaliknya menjadi ustaz dan mengajar di kampung.
"Dia tidak layak dalam politik dan tidak tahu apa-apa, jauh sekali pentadbiran.
"Dapat Terengganu tapi tak tahu tadbir. Dia sepaturnya balik ke sekolah-sekolah agama dan ajar agama dengan betul, bukan kafir-mengkafir," ujarnya.
Sebelum ini, Abdul Hadi secara sinis berkata, sepatutnya Dr Mahathir pada usia melebihi 90 tahun dan dengan ilmu yang ada dalam bidang kedoktoran seharusnya mencurahkan kebajikan kepada rakyat di Klinik 1Malaysia.
Abdul Hadi menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.
#Abdul Hadi Awang #Ahmad Bashah #Dr Mahathir #Mahathir Mohamad #MalaysiaMemilih #PAS #PKR #PRU14 #Tun Mahathir #UMNO
;