'Saya mohon Bangsa Johor bersama saya bangunkan negeri' - Onn Hafiz
Fareez Azman
Mac 15, 2022 17:55 MYT
Mac 15, 2022 17:55 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon agar rakyat Johor bersamanya bersatu hati, minda dan tenaga tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang dalam membangunkan negeri itu.
Perkara itu dimaklumkan beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menerusi ciapan di Twitternya selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Selasa.
"Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan Salam Bangsa Johor. Segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam yang menentukan segala-galanya.
"Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya - bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini," ciap Onn Hafiz.
Dalam ciapan itu, Onn Hafiz turut memohon doa daripada semua rakyat Johor agar setiap langkah diambilnya selepas ini mencapai matlamat disasarkan demi kemaslahatan rakyat.
"Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap dari rakyatnya.
"Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua.
"Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada," jelasnya lagi.
Terdahulu Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa.
Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.