'Saya menanggung persepsi rakyat terhadap calon Pas di Pasir Mas'

Astro Awani
Mei 1, 2018 09:00 MYT
Ahmad Fadhli berdepan cabaran persepsi untuk menggantikan tempat yang selama ini diisi Nik Abduh. - Gambar fail
Luahan rakyat Parlimen Pasir Mas terhadap bekas penyandang dari Pas, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz kurang menyenangkan apatah lagi mereka melabelkan Nik Mohamed Abduh sebagai wakil rakyat lima tahun sekali.
Rata-rata rakyat Pasir Mas tidak dapat menikmati jasa dan bakti dari wakil rakyat sepenggal itu kerana dakwa mereka sukar menemui beliau di kawasan yang diwakili.
Pengundi Pasir Mas kini yang berjumlah lebih 80,000 orang mengharapkan calon anak tempatan yang senang didekati.
Kali ini, Pas Kelantan menggantikan tempat beliau dengan calon anak muda seolah-olah memahami dan mengetahui penolakan terhadap Nik Mohamed Abduh.
Ahmad Fadhli Shaari, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat merupakan anak jati Pasir Mas yang dipertaruhkan bertanding di Parlimen Pasir Mas.
Beliau berdepan dengan pertandingan empat penjuru bertemu Nor Azmawi Ab Rahman (BN), Datuk Dr Ibrahim Ali, (Bebas) dan Che Ujang Che Daud (PKR).
Ketika ditemui Astro AWANI, Ahmad Fadhli, 38 tahun, mengakui berdepan cabaran di Pasir Mas.
Namun katanya, beliau mempunyai sedikit kelebihan kerana menjadi anak tempatan dan dilahirkan di Tendong, Pasir Mas.
Beliau juga sudah lama berkerja dan memberikan khidmatnya di kawasan Pasir Mas walaupun semasa Nik Mohamed Abduh menjadi ahli Parlimen Pasir Mas.
"Saya anak tempatan sini, orang Pasir Mas tau saya anak kelahiran sini, saya bukan mencelup di sini, bahkan saya bekerja sejak dari selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 membentuk persepsi positif di Parlimen Pasir Mas" katanya.
Ahmad Fadhli yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan mengharapkan rakyat Pasir Mas tidak menjadi persepsi dan legasi yang ditinggalkan oleh bekas wakil rakyat terdahulu satu hukuman kepada calon yang akan bertanding kali ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli mengakui senarai calon Pas Kelantan yang diketengahkan kali ini hanya menampilkan beliau sebagai calon anak muda.
Ianya berbeza dengan Barisan Nasional BN Kelantan, yang banyak memberi ruang kepada anak muda.
#Ahmad Fadhli Shaari #anak tempatan #MalaysiaMemilih #nik abduh #Parlimen #Pas Kelantan #Pasir Mas #pengundi #politik #PRU14 #rakyat
;