"Saya masih berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang" - Mohd Salleh

Astro Awani
Jun 15, 2015 15:55 MYT
MOHD SALLEH: Tidak timbul soal meletak jawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Mohd Salleh, yang juga Pengerusi Zakat Pulau Pinang berkata, ini adalah kerana jawatan tersebut dilantik dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam bagi negeri itu.
Justeru katanya, tidak timbul soal meletak jawatan ketika ini malah beliau berpendirian untuk meneruskan tugas yang diamanahkan kepadanya bagi menghormati perlantikan oleh pihak Istana Negara, biarpun berdepan tekanan dari Kerajaan Negeri pimpinan DAP.
Perlantikan beliau sebagai Pengerusi MAINPP untuk tempoh berkuatkuasa Julai 2012 sehingga Julai 2016.
“Saya masih berkhidmat dengan Kerajaan Negeri sebagai Yang Di-Pertua Majlis, Pengerusi Zakat Pulau Pinang dan juga Adun Permatang Pasir untuk rakyat saya.
“Saya telah dilantik oleh pihak Istana Negara jadi saya menghormati perkenan pelantikan Yang Di-Pertua Agong,” kata Mohd Salleh.
Tambahnya, keutamaan beliau kini adalah untuk berkhidmat dalam MAINPP dan Zakat Pulau Pinang serta berikrar untuk melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat.
Berikutan itu, Mohd Salleh berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu tersebut.
Tambahnya lagi, sebagai wakil rakyat PAS, beliau menghormati keputusan Dewan Ulama parti itu namun tetap meneruskan hubungan politik dengan parti-parti Pakatan Rakyat.
Kemelut kedudukan Mohd Salleh, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS negeri serta pemimpin-pemimpin PAS yang bekhidmat dalam Kerajaan Pulau Pinang bermula apabila Lim Guan Eng meminta mereka melepaskan jawatan masing-masing.
Desakan itu adalah sebagai tindak balas kepada keputusan Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas ketika Muktamar tahunan PAS ke-61 baru-baru ini.
Bagaimanapun, Dewan Ulama PAS telah memutuskan untuk meneruskan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat.
Mohd Salleh berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Nur Ramadan Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang di Kepala Batas, hari ini.
Seramai 2,292 penerima dari seluruh negeri menerima bantuan zakat bernilai RM600 setiap seorang beserta bantuan keperluan dapur dengan peruntukan keseluruhan lebih RM1.5 juta.
#Lim Guan Eng #MAINPP #Mohd Salleh Man #Zakat Pulau Pinang