Saya masih ahli PAS sampai ajal - Saari Sungib

Astro Awani
September 29, 2014 09:03 MYT
SAARI: Saya masih ahli PAS sampai ajal - Gambar Fail
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib menegaskan beliau masih lagi ahli PAS dan tidak akan meninggalkan parti Islam itu.
"Saya masih ahli PAS sampai ajal," katanya kepada pemberita di bangunan ibu pejabat PAS, di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Saari dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di pejabatnya hari ini.
Namun Saari enggan mengulas lanjut tujuan pertemuan dengan Mustafa itu diadakan dan usaha Astro AWANI untuk mendapatkan penjelasan dari Setiausaha Agung PAS itu juga gagal.
Sebelum ini beberapa portal melaporkan Saari dan Hasnol akan menghadap Lembaga Disiplin PAS hari ini bagi membincangkan tindakan mereka memberi sokongan kepada presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.
Akibat tindakan, perwakilan PAS mendesak agar kedua mereka dihadapkan kepada Lembaga Disiplin PAS dan dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Lebih memburukkan keadaan apabila presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan pergulungan di Muktamar Tahunan parti itu di Batu Pahat baru-baru ini mengeluarkan istilah 'broker' dan 'barua' akibat insiden tersebut.
Bagaimanapun, Saari dan Hasnol yang hadir di majlis makan malam anjuran DAP dianggap sebagai 'wira' yang telah menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada terbentuknya kerajaan yang mereka dakwa sebagai gabungan UMNO, PAS dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Di majlis itu, Hasnul secara berseloroh berkata beliau masih boleh bertanding menggunakan lambang DAP manakala Saari menegaskan tidak akan keluar daripada PAS.
#Hasnul Baharuddin #Pakatan Rakyat #PAS #Saari Sungib