'Saya masih ahli PAS' - Husam Musa

Astro Awani
Mei 7, 2016 11:08 MYT
Pemecatan Husam berkuatkuasa 23 April lalu. - Gambar fail
Itu kenyataan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa berhubung isu pemecatannya.
Tegas Husam, beliau menganggap dirinya masih ahli, sehingga surat pemecatan beliau dari parti dikeluarkan.
Namun sehingga Jumaat, Husam memaklumkan tidak menerima sebarang makluman berhubung pemecatannya, sama ada melalui surat rasmi, mesej, mahupun aplikasi WhatApps dari pengurusan tertingga PAS dan jawatankuasa disiplin parti.
Sebaliknya kata Husam, pemecatannya hanya diketahui menerusi laporan media.
"Belum terima surat, belum terima SMS, menerusi media sahaja, jadi belum rasmi lagilah (pemecatannya), khabar dalam media tidak pasti sah atau tidak.
"Saya masih lagi, secara teknikal tiada apa-apa pemberitahuan," tegas beliau yang mengakui sedih dan kecewa dengan pemecatannya.
Bagi Husam, tindakan itu umpama tidak menghargai jasanya selama lebih 30 tahun kepada PAS, selain mendakwa beliau tidak diberikan ruang untuk membela diri.
"Sepatutnya saya dipanggil dan saya belum menjawab surat, saya masih tunggu peguam," kata Husam.
Bekas Naib Presiden PAS itu belum membuat sebarang rancangan, namun berdegil akan tetap hadir ke mesyuarat agong PAS kawasan Kubang Kerian pada Sabtu.
Pemecatan Husam berkuatkuasa 23 April lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok, terdapat asas kukuh untuk memecat Husam, berdasarkan aduan salah laku yang difailkan.
Jawatankuasa itu mendapati Husam melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(B), (C), (D), (E) dan (F), perlembagaan PAS.
Ia kemudian membawa kepada keputusan jawatankuasa tatatertib PAS "memecat Husam dari menjadi ahli PAS" berkuatkuasa serta merta.
#ahli PAS #Amanah #Husam dipecat #Husam Musa #PAS #pemecatan dari PAS #pemecatan partu
;