'Saya marah Tony teruk, namun saya maafkan dia' - Rafidah
Firdaus Azil
Mei 13, 2018 19:41 MYT
Mei 13, 2018 19:41 MYT
Sebarang bentuk 'bantuan' atau 'sekatan' ke atas AirAsia harus dihentikan serta-merta dan syarikat penerbangan itu harus dibiarkan beroperasi tanpa sebarang gangguan seperti sebelum ini, tegas Pengerusi AirAsia X (AAX), Tan Sri Rafidah Aziz hari ini.
Katanya lagi, di saat kerajaan kini sudah berada di bawah teraju Tun Dr Mahathir Mohamad, sebarang perniagaan di negara ini harus lebih bebas, agar ia boleh berkembang dan bergerak dengan lebih maju.
"Dengan kerajaan di bawah Tun Dr Mahathir, kita boleh jangkakan suasana perniagaan yang lebih mesra dan sebarang sekatan yang dihadapi industri penerbangan boleh dipermudahkan atau dihentikan terus," katanya dalam satu catatan di laman Facebook beliau.
Rafidah berkata demikian susulan pengakuan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia bahawa Tony Fernandes, yang mengaku ditekan oleh kerajaan sebelum ini, termasuk arahan untuk menghentikan khidmat Rafidah sebagai Pengerusi AAX.
Dalam pada itu, Rafidah berkata, beliau amat menghargai kesanggupan Tony untuk menghadapi kesemua tekanan itu, termasuk keengganan untuk memberhentikan beliau daripada AAX.
"Kesilapannya hanyalah kerana tidak memberitahu saya (apa yang terjadi). Dan dia sudah dimarahi dengan teruk oleh saya. Tiada yang peribadi, hanya kerana kesilapannya dalam membuat keputusan, atau seperti yang saya beritahu kepada Tony, 'kebodohannya' sendiri," katanya lagi.
Memandangkan episod itu sudah berlaku, Rafidah mahu semua pihak untuk lupakan apa yang terjadi, dan terus bergerak ke hadapan, terutamanya dalam memastikan industri penerbangan lebih terbuka berbanding dahulu.
"Mari kita memandang ke hadapan dengan penuh positif, dan biarkan apa jua tekanan yang kerajaan lepas lakukan, berlalu pergi. Mulai hari ini, AirAsia akan terus, dengan izin Tuhan, terbang di bawah cuaca yang lebih terang," ujarnya lagi.
#air asia
#air asia x
#Barisan Nasional
#Mahathir Mohamad
#Najib Razak
#penerbangan
#Rafidah Aziz
#Tony Fernandes