"Saya macam 'janda' yang ramai peminat" - Ibrahim Ali
Irwan Muhammad Zain
Mac 22, 2018 15:23 MYT
Mac 22, 2018 15:23 MYT
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali masih berteka-teki sama ada mahu bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas atau Rantau Panjang pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Biarpun telah mengesahkan secara rasmi akan bertanding pada PRU14 nanti, Ibrahim masih menungu 'pinangan' dari mana-mana parti.
"Untuk PRU14 ini saya nak umumkan secara rasmi Insyaallah akan bertanding.
"Tengoklah Pasir Mas atau Rantau Panjang. Ada yang mintak saya bertanding di Pasir Mas dan ada yang suruh cuba di rantau Panjang," katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini hari ini.
Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau lebih berminat untuk bertanding atas tiket parti politik bukan lagi calon bebas.
"Saya berhasrat nak bertanding atas parti politik. Tapi parti mana saya tak boleh jawab sebab kalau ada parti yang masukkan nama saya ke.
"Saya ni macam janda yang ramai peminat jadi saya kena tengok dulu siapa yang minat saya tu.
“Jadi saya nak tengok sama ada agenda yang dibawa itu kena tak dengan jiwa saya," katanya.
Pada PRU13 yang lalu, Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas, tewas kepada calon Pas Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Nik Abduh merupakan anak kepada ikon Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pada 2008, Ibrahim memenangi kerusi parlimen Pasir Mas atas tiket Pas selepas parti itu memberi beliau laluan untuk menentang calon Barisan Nasional (BN).
Ibrahim mula memenangi kerusi parlimen Pasir Mas pada PRU tahun 1986 atas tiket BN. Ketika PRU tahun 1990, Ibrahim mempertahankan kerusi Pasir Mas atas tiket Semangat 46.
#Barisan Nasional
#Bebas
#Gagasan Sejahtera
#Ibrahim Ali
#Kelantan
#Malaysia
#Malaysia Memilih
#Nik Abdul Aziz Nik Mat
#Pakatan Harapan
#Pasir Mas
#PRU14