"Saya jadi barua selama 22 bulan" - ADUN Pengkalan Batu

Fareez Azman
Mac 2, 2020 18:11 MYT
Menurut Norhizam, tindakannya itu dilakukan demi kepentingan rakyat - Gambar Astro AWANI/ FAREEZ AZMAN
Teka-teki siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Melaka yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional akhirnya terjawab selepas dua Adun Bersatu dan masing-masing seorang Adun PKR dan DAP muncul dalam sidang media gabungan Perikatan Nasional di sini pada petang Isnin.
Mereka terdiri daripada Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka yang juga ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, ADUN (Bersatu) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, ADUN (Bersatu) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan ADUN (PKR) Rembia, Datuk Mohamad Jailani Khamis.
Perkembangan terbaharu itu sekali gus mengakhiri kemelut politik di negeri itu selepas Perikatan Nasional berjaya mendapat 17 kerusi ADUN berbanding 11 kerusi bagi Pakatan Harapan (PH).
Menurut Norhizam, tindakan itu dilakukannya demi kepentingan rakyat.
"Hati saya bertindak merana demi untuk kepentingan orang Melayu... saya sudah bekerja keras bertungkus-lumus, mereka kata nak berhemah, nak bermaruah, tapi saya tengok saya jadi barua saja...memang saya jadi barua saja," kata Norhizam dalam sidang media.
Mengulas mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadapnya oleh pucuk pimpinan partinya berhubung sokongan diberikan kepada Perikatan Nasional, kata Norhizam, itu merupakan urusan antara beliau dengan DAP.
.
#DAP #Norizam Hassan #Sidang media #UMNO
;