Saya hilang kepercayaan terhadap kerajaan - Bekas SUA Zuraida Kamaruddin
Azzam Anwar
Jun 12, 2019 18:19 MYT
Jun 12, 2019 18:19 MYT
Bekas setiausaha akhbar (SUA) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (KPKT), Ahmad Soffian Mohd Shariff menjelaskan peletakan jawatannya adalah atas sebab hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Jelasnya, dia kecewa terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal memenuhi janji manifesto sebelum ini.
“Saya tiada lagi kaitan dengan KPKT, tiada lagi kaitan dengan Pakatan Harapan (PH), ataupun mana-mana parti komponen PH. Saya tidak mahu dikaitkan dengan struktur kerajaan.
“Kerajaan PH ada tiga tahun lagi. Saya mahu ambil posisi untuk bebas bersuara dan menegur kerajaan jika ada kesalahan.
“Saya mahu kapasiti untuk bercakap sebagai rakyat. Apa yang saya rasa perlu ditegur, saya tegur. Bukan untuk membangkang ataupun melawan begitu, tidak, tetapi kita perlu menegur kerajaan yang sedia ada,” katanya.
Katanya lagi, dia tidak mahu dituduh melakukan aktiviti sabotaj jika menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap aktiviti kerajaan,
Sementara itu, katanya prosiding inkues allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim turut memberi kesan kepada keputusannya untuk meletakkan jawatan.
“Ketika membuat keputusan ini, saya sudah berfikir panjang, dan melakukan solat istikharah. Keputusan ini tidak buat dengan terburu-buru. Saya bertenang dahulu, dan saya rasa ini adalah jalan yang terbaik."
Ahmad Soffian turut mengulas keputusan meletakkan jawatan menerusi platform Whatsapp adalah kerana tidak sanggup bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
“Ia merupakan satu keputusan yang berat. Saya rasa sedih dan tidak sanggup bertemu dengan beliau. Beliau adalah seorang pemimpin yang baik. Saya hanya mengucap jutaan terima kasih kepadanya, kumpulan YB Zuraida di KPKT dan di Ampang.
“Saya sudah letak jawatan, saya akan cari kerja lain- mungkin berniaga burger?” kata Ahmad Soffian.
Sebelum ini, Zuraida dilapor menghormati keputusan Ahmad Soffian yang meletak jawatan sebagai setiausaha akhbarnya.
Katanya, perkara ini akan diperhalusi dan beliau menyifatkan Ahmad Soffian sebagai seorang kakitangan yang dedikasi dan sering memberi komitmen tinggi terhadap tugasan.
#ahmad soffian mohd shariff
#letak jawatan
#Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
#Pakatan Harapan
#setiausaha akhbar
#Zuraida Kamaruddin