'Saya dulu selamba je keluar masuk lokap' - Rafizi nasihat Jamal serah diri
Khairunnisa Kasnoon
Jun 2, 2018 18:20 MYT
Jun 2, 2018 18:20 MYT
“Saya dulu selamba je keluar masuk lokap; itu asam garam berjuang.”
Itu kata sinis Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli yang ditujukan kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos yang kini diburu polis setelah menghilangkan diri.
Rafizi menerusi laman Twitternya meminta supaya Jamal berani berdepan dengan cabaran politik semasa dan memberi kerjasama kepada polis.
Katanya, Jamal sepatutnya yakin dengan integriti dan ketelusan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas.
“Saya nasihatkan Dato Jamal pulanglah dan lapor diri ke balai polis.
"Mereka tidak akan apa-apakan Dato Jamal.
"Mereka tahu mereka dipantau rakyat."
Mahkamah Majistret Ampang telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal berkuat kuasa semalam setelah gagal tampil memberikan kerjasama berhubung siasatan polis.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk membantu memburu Jamal susulan dakwaan yang dia kini berada di Indonesia.
Sehingga kini, Pengerusi Gerakan Baju Merah itu sudah didakwa atas tiga kesalahan iaitu mempamerkan senjata api serta dua kesalahan ketika di Hospital Ampang Puteri, Ampang pada 25 Mei lalu dan masih mempunyai baki enam kes yang belum dituduh.
Bagaimanapun, Jamal meghilangkan diri selepas diberikan ikat jamin dan tidak sempat untuk menyelesaikan proses berkenaan.