Saya doa video Anwar dahulu palsu - Khairuddin
Astro Awani
Julai 17, 2019 20:00 MYT
Julai 17, 2019 20:00 MYT
Laporan polis untuk memohon penyiasatan forensik dilakukan terhadap semua video lama membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan fitnah dielakkan kepada bakal perdana menteri kelapan itu.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan ia sekali gus membuktikan apakah semua video-video berkenaan tulen atau palsu semata-mata.
“Atas dasar untuk mengelak fitnah dari terus melanda bakal perdana menteri kelapan; sebab itulah saya membuat laporan PDRM memohon siasatan forensik ke atas semua video-video yang pernah mengaitkan Anwar bagi mengetahui sama ada video-video ini tulen atau palsu.
“Dalam isu ini saya juga berdoa agar video-video yang cuba memfitnah Anwar satu masa dahulu adalah palsu semata-mata agar apabila menjawat jawatan perdana menteri kelapan kelak, tiada siapapun daripada kalangan parasit dapat memfitnah Anwar lagi.
“Laporan PDRM ini adalah semata-mata untuk membersihkan nama Anwar dan terus mempertahankannya sebagai calon perdana menteri kelapan tanpa sesiapapun boleh mempertikaikan kredibilitinya lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Khairuddin membuat laporan polis berkenaan di Balai Polis Dang Wangi.
Tegasnya, laporan polis itu dibuat semata-mata untuk memohon PDRM menyiasat secara komprehensif mengenai kesahihan video yang pernah dikaitkan dengan Anwar.
“Seperti kita mempertahankan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, maka begitulah juga kita harus mempertahankan Anwar sebagai salah seorang sahabat karib.
“Apabila sahabat berada dalam kesusahan, kita harus menghulur tangan untuk membantu bukan mengeluarkan pisau untuk menikam kawan dari belakang.
“Di sekeliling kita mempunyai pelbagai jenis kawan-kawan. Ada kawan-kawan yang ikhlas dan ada sahabat yang bersifat munafik,” katanya.
Anwar sebelum ini berpendapat Mohamed Azmin perlu mengambil cuti jika video intim yang mengaitkannya itu sahih dirinya.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, tegas Anwar, tidak perlu berbuat demikian jika siasatan mendapati sebaliknya.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#bakal perdana menteri kelapan
#Balai Polis Dang Wangi
#fitnah
#Khairuddin Abu Hassan
#PDRM
#polis
#siasatan forensik
#video
#video lama