'Saya ditawar wang besar...' - Wan Saiful
Astro Awani
Januari 7, 2019 18:36 MYT
Januari 7, 2019 18:36 MYT
Wan Saiful Wan Jan mendedahkan bahawa berlaku cubaan untuk menyogoknya supaya membantu pengaturan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan beliau pada Isnin, Wan Saiful juga memaklumkan yang dirinya digesa supaya menarik balik laporan polis yang dibuatnya berkenaan pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu Ringgit di pejabat Bersatu Perlis.
Bagaimanapun, bekas setiausaha Bersatu Perlis itu bertegas tidak akan berbuat demikian dan enggan terlibat dalam aktiviti salah guna kuasa.
“Saya ditawarkan wang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak tersebut. Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu.
“Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti, dan saya tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapat mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis,” katanya.
Jelasnya lagi, hal itu telah menambah iltizamnya untuk terus membantu Bersatu di Perlis menjadi lebih baik dan bekerja untuk kebaikan parti.
Terdahulu pada hari sama (Isnin), Wan Saiful digugurkan daripada jawatan setiausaha negeri parti itu berkuatkuasa serta merta.
Menurut Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan, keputusan itu dibuat bagi memberikan ruang kepada Wan Saiful untuk memberikan tumpuan penuh kepada jawatannya sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kata Ameir, notis pengguguran telah diserahkan kepada Wan Saiful selepas barisan kepimpinan mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu lalu.
Pendedahan dan laporan polis Wan Saiful itu dikatakan sebagai punca pemecatan tersebut.
#Bersatu
#integriti
#kerajaan
#Malaysia Baharu
#Perlis
#PPBM
#PTPTN
#salah guna kuasa
#Wan Saiful Wan Jan