Saya dan Bung Moktar tidak pernah bertelagah, GRS kukuh - Hajiji Noor

Eleanor Michelle Patrick
Februari 6, 2022 06:13 MYT
Hajiji (kanan) berkata, walaupun mereka terdiri daripada parti-parti berlainan, kerjasama di antara mereka semakin kukuh.
KUDAT: Tiada sebarang pertelagahan yang berlaku di antara parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tegas Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah itu turut menolak khabar angin mengatakan bahawa hubungannya dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa kepimpinan tertinggi GRS retak.
Malah, tegas beliau lagi, walaupun mereka terdiri daripada parti-parti berlainan, kerjasama di antara mereka semakin kukuh.
“Saya akan nyatakan dengan jelas, memandangkan Datuk Bung ada di sini, kami tidak pernah bertelagah (antara satu sama lain). Tidak pernah berlaku salah faham walaupun orang lain cakap tentang kami.
"Sebenarnya, hubungan saya dengan Datuk Bung (dan dalam hal ini) Datuk Dr Maximus Ongkili (presiden PBS) dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (presiden STAR) sangat mesra dan semakin lama semakin kuat.
"Walaupun kita datang daripada parti yang berlainan, kita tegas dengan ikrar GRS. Dengan ini, saya berharap tidak akan ada lagi cakap-cakap yang Hajiji tidak baik dengan Bung atau Dr Max dan Dr Jeffrey," katanya ketika penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat Golf and Marina Resort, pada Sabtu.
Beliau yang juga Pengerusi GRS turut menyatakan bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Bung mengenai mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS.
"Kita ada kurang empat tahun sebelum pilihan raya semula jadi apa yang perlu kita lakukan ialah bekerja keras untuk membawa kemajuan kepada rakyat dan Sabah," katanya.
Hajiji yang merupakan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah berkata beliau memahami bahawa beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam GRS.
"Saya faham perkara ini. Oleh itu kita perlu bekerja keras untuk rakyat. Juga tidak perlu berebut kerusi. Kita boleh selesaikan dengan melihat kekuatan parti masing-masing. Jika parti itu kuat dalam sesebuah kawasan maka kerusi akan diberikan,” katanya.
Mengenai pilihan raya kecil DUN Bugaya, Hajiji berkata perkara berkaitan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS untuk mencari penyelesaian secara baik, setelah perintah darurat pada pilihan raya kecil itu ditarik balik.
Mengenai isu pendaftaran secara rasmi pakatan GRS, katanya beliau tidak ragu-ragu jika perkara itu dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.
Tambahnya, beliau percaya bahawa dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan komponennya.
“Jika ini yang diinginkan oleh semua orang, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi," katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi GRS Back Bencher Club, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Arif; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
#Hajiji Noor #Bung Moktar Radin #Hajiji Bung telagah #GRS retak