'Saya dan Anwar ada sokongan 105 Ahli Parlimen' - Shafie Apdal
Fareez Azman
Ogos 17, 2021 21:35 MYT
Ogos 17, 2021 21:35 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui bahawa dirinya dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan oleh Pakatan Harapan Plus (PH) sebagai calon Perdana Menteri.
Jelas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, beliau dan Anwar perlu mendapatkan sokongan yang lebih bagi memastikan dapat membentuk kerajaan yang baharu.
"Sebenarnya kita ada permuafakatan di antara rakan kita pihak pembangkang. Tadi, saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang secara ringkas, Lim Guan Eng dan kawan-kawan lain termasuk Mohamad Sabu dan Tun Dr Mahathir Mohamad pun turut maklum perkara ini.
"Kita putuskan ada dua calon, pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim, keduanya saya.
"Ini berasaskan 105 sokongan yang ada, Anwar ada 105, saya ada 105 sokongan. Tetapi, dalam 105 sokongan ini, siapa di antara kita dapat meraih undi menambah kekuatan itu untuk menjadi calon pilihan," katanya ketika ditemubual dalam program Agenda Awani, terbitan Astro AWANI di sini, pada Rabu.
Tambah Mohd Shafie, beliau dan Anwar bagaimanapun akur jika salah seorang daripada mereka mendapat sokongan yang lebih sekali gus mampu membentuk kerajaan.
"Sekiranya, Anwar dapat membawa jumlah besar, saya kena akur. Saya nyatakan jangan bimbang, kita kumpulan pembangkang diberikan oleh rakyat untuk memerintah negara ini.
"Kita hilang kuasa termasuk di Negeri Sabah, kita ada dua pertiga sehingga tercetus Pilihan Raya Negeri Sabah, kalau mereka tidak beli ADUN-ADUN," katanya lagi.
Ujar Mohd Shafie, bagaimanapun jika beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen PH Plus, rakan-rakan pembangkang akan menerima dengan hati terbuka.
Tambahnya, sekiranya majoriti itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun ia juga perlu ditentukan keabsahannya di Dewan Rakyat sepertimana dititahkan oleh Baginda dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin parti di Istana Negara, pada Selasa.
#Agenda Awani
#Mohd Shafie Apdal
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#Parti Warisan Sabah
#Yang di-Pertuan Agong
#Pakatan Harapan Plus