'Saya dah biasa kalah' - Mat Sabu
Irwan Muhammad Zain
Jun 5, 2015 17:12 MYT
Jun 5, 2015 17:12 MYT
Biarpun gagal mempertahankan jawatan yang disandangnya, Mohamad Sabu menegaskan beliau akan meneruskan perjuangan Islam yang didokongnya sejak awal penglibatan dalam politik.
Mohamad yang dikenali dengan Mat Sabu berkata beliau menerima kekalahan dengan hati yang terbuka kerana ia adalah lumrah dalam pertandingan.
"Kalah itu biasa, undi dapat sikit sangat tu yang sedih tu.
"Abang Mat dah biasa kalah dan biasa juga menang.
"Saya akan terus dengan perjuangan Islam," katanya pada sidang media di Muktamar PAS ke-61 di sini, hari ini.
Mohamad juga menjelaskan beliau akan berehat seketika dan belum memikirkan apa yang akan dilakukan selepas ini.
"Saya nak berehat dulu tiga empat hari," katanya lagi.
Mohamad gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak dua penggal yang lalu selepas tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim memperolehi 881 undi manakala Mohamad hanya mendapat 279 undi.