"Saya cadang G. Palanivel berjumpa doktor" - Saravanan

Norsiah Mohd Ramli
Ogos 23, 2015 20:09 MYT
SARAVANAN: Pemilihan Dr Subramaniam sebagai Presiden MIC merupakan suara majoriti masyarakat India di Malaysia dan ianya tidak perlu dipersoalkan lagi.
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan mencadangkan supaya bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berjumpa doktor jika tidak berpuas hati dengan pelantikan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai presiden parti yang baharu.
Katanya, pemilihan Dr Subramaniam sebagai Presiden MIC merupakan suara majoriti masyarakat India di Malaysia dan ianya tidak perlu dipersoalkan lagi.
"Yang pertama, ini semua sandiwara Palanivel. Yang kedua, Palanivel tidak memahami perlembangaan MIC dan lihat dia kehilangan jawatannya hari ini.
"Kedua, dalam perlembagaan MIC ada menyatakan jika ada seseorang ahli tidak berpuas hati dengan cara pengurusan MIC, aduan perlu dibuat di MIC dahulu dan jika dalam masa 30 hari masih tidak jumpa jalan penyelesaian, barulah boleh mengadu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), " katanya semasa ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran transformasi sekolah Tamil peringkat Wilayah Persekutuan 2015 di Universiti Malaya, hari ini.
Ditanya mengenai kononnya terdapat 1,500 aduan yang dibuat kepada RoS berikutan tidak puas hati dengan pemilihan Subramaniam sebagai Presiden, Saravanan menegaskan ianya adalah tidak relevan.
"Jumlah cawangan MIC yang sah yang diiktiraf ROS adalah sebanyak 2, 844. Daripada jumlah tersebut, 2, 700 mencalonkan Subramaniam dan selebihnya hanya berjumlah 100 lebih sahaja yang tidak mengundi. Jadi mana datang 1,500 orang?" katanya.
Pada masa sama, Saravanan berkata, pemilihan Dr Subramaniam sebagai presiden baharu dilihat sebagai satu titik perubahan kepada MIC.
"Kepimpinan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilihat sebagai imej baharu kepada MIC dari segi kematangan politik dan cara mengendalikan masalah dalam parti selama ini secara berhemah." katanya.
Dr Subramaniam dipilih sebagai Presiden MIC yang baharu selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu pada Jumaat lepas.
Dr Subramaniam yang merupakan bekas Timbalan Presiden MIC sejak 2010, sebelum memangku jawatan Presiden MIC menerima 450 pencalonan merangkumi 2,700 daripada 2,843 cawangan parti itu.
Menurut perlembagaan parti, calon yang mahu bertanding jawatan nombor satu dalam parti mesti menjadi pengerusi cawangan serta mendapat 50 pencalonan dan setiap pencalonan perlu mempunyai seorang pencadang serta lima penyokong.
Kemenangan Menteri Kesihatan itu, bagaimanapun dijangka akan menghangatkan lagi krisis parti berusia 68 tahun itu berikutan bekas presiden Datuk Seri G.Palanivel pada 9 Ogos lalu turut diumumkan sebagai presiden parti dalam penamaan calon oleh penyokongnya.
#Doktor #MIC #Palanivel #presiden #Saravanan #subramaniam
;