'Saya bukan tolak dalam sifat angkuh' - Mohammad Nizar

Aida Aziz
Februari 6, 2020 15:14 MYT
Media melaporkan, sehari selepas diancam untuk memulakan prosiding memufliskannya, Razman menghantar wakil dengan sekeping cek untuk diserahkan kepada peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni di Ipoh. - Gambar fail
"Saya sedih sebab dituduh angkuh kerana menolak cek itu ... Saya ingat ia boleh dinilaikan oleh orang," ujar Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang menyifatkan penolakan Mohammad Nizar terhadap cek berstatus tertangguh (post-dated cheque) itu menunjukkan sikap angkuhnya.
Nizar berkata, dia sama sekali tidak menolaknya dengan sifat angkuh, malah sudah memberi peluang kepada Razman untuk membuat permohonan maaf sebelum ini, namun tiada usaha ke arah itu.
"Saya bukan menolaknya dalam sifat angkuh, oleh kerana masa yang kita beri itu sudah sekian lama dan keputusan di mahkamah pun juga sudah sangat lama.
"Sebelum membuat tindakan mahkamah saya sudah bagi dia peluang untuk memohon maaf tetapi tidak juga diambil tindakan dan tidak ada juga usaha untuk berbincang di luar mahkamah.
"Tetapi dia nampak seolah-olah mempermainkan..bagi 'post dated cheque', apa-apa sahaja boleh berlaku dalam masa lima hari itu, itu bukanlah menunjukkan kata saya angkuh,"ujarnya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja bersama Invest Perak di DEM DRAEXLMAIER Automotive M Sdn Bhd di Jalan Seramik, Chepor di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Nizar turut mengulas tindakan selanjutnya samada mahu meneruskan prosiding atau tidak bagi mengisytiharkan Razman sebagai individu muflis.
"Saya akan berbincang dengan peguam berkenaan apakah kesan juga implikasi dan apakah kaaedah litigasi yang masih ada kalau boleh dibuktikan memang ada niat hendak melambat-lambatkan.
"Kalau tidak ada kesan barangkali kita boleh beri pertimbangan, apa sangat lima hari, kita sudah menunggu lima tahun," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Razman berdepan tindakan bankrap berikutan gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum itu pada November 2019 lalu.
Melalui laporan itu, Peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, bayaran terbabit sepatutnya dijelaskan oleh Razman selewat-lewatnya pada 29 Januari lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang bayaran diterima.
Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar Razman adalah sebanyak RM254,150 termasuk kos dan faedah lewat bayar.
Razman sebelum ini didapati bersalah memfitnah Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu dalam satu artikel yang diterbitkan akhbar Sinar Harian Edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk 'Pendekatan Nizar Mirip DAP'.
Media melaporkan, sehari selepas diancam untuk memulakan prosiding memufliskannya, Razman menghantar wakil dengan sekeping cek untuk diserahkan kepada peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni di Ipoh.
Bagaimanapun kata Mohd Fitri, cek itu tidak diterima oleh Mohammad Nizar kerana berstatus cek tertangguh (post-dated cheque) bertarikh 10 Februari 2020.
Setelah itu, media melaporkan selepas cek bayaran ganti rugi saman ditolak, Razman menempelak Mohammad Nizar.
Memetik laporan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol itu menyifatkan penolakan Mohammad Nizar menunjukkan sikap angkuh pemimpin Amanah itu.
#Amanah #Invest Perak #Mahkamah Rayuan #Mohamad Nizar #muflis #Razman Zakaria
;