Saya bukan salah seorang daripada 10 'warlord' UMNO sertai PN - Tajuddin

Abd Razak Mohd Ali
Jun 18, 2023 18:06 MYT
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, tidak mungkin beliau akan meninggal UMNO yang telah disertainya sejak lebih 50 tahun lalu. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini menafikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 'warlord' UMNO yang didakwa akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO itu juga menegaskan, tidak mungkin beliau akan meninggal parti itu yang telah disertainya sejak lebih 50 tahun lalu.
"Saya (dah) 50 tahun dalam UMNO, takkan saya nak tinggalkan UMNO. Banyak jasa UMNO kepada saya.
"Begitu juga, banyak benda yang saya buat untuk UMNO, takkan saya nak tinggalkan, rugi lah saya.
"Tak ada kena mengena dengan saya, saya pun tak tahu menahu…betul lillahita'ala, saya tak tahu menahu. Saya tetap bersama UMNO, biar saya tinggal sorang pun," katanya dalam sidang media khas di Ipoh pada Ahad.
Menurutnya, pemimpin UMNO, khususnya Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak perlu bimbang kerana beliau akan tetap bersama parti itu.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata, akan mengumumkan senarai 10 'warlord' merangkumi individu yang disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.
Menurutnya, pimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkaitan penyertaan itu.
Menurut laporan sebelum ini, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, dan bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, antara yang disebut-sebut bakal menyertai PN.
#Tajuddin Abdul Rahman #warlord UMNO #Perikatan Nasional #PRN
;