'Saya bukan kelas ahli politik murahan' - Anwar

Umavathi Ramayah
Mac 14, 2023 14:06 MYT
Anwar Ibrahim menyifatkan, kenyataan tanpa bukti yang sahih sebagai tuduhan dan fitnah ke atas dirinya. - Foto/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: "Saya bukan kelas ahli politik murah...," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau seterusnya menggesa pihak tertentu supaya tampil memberi bukti dakwaan beliau campur tangan dalam mana-mana siasatan kes termasuk membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar menyifatkan, kenyataan tanpa bukti yang sahih sebagai tuduhan dan fitnah ke atas dirinya.
"Kalau ada tindakan, jangan hukum saya sebagai zalim dan sebagainya. Sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab, adakah saudara yakin ada bukti bahawa Anwar campur tangan dalam dakwa sesiapa. Kalau tidak, zalim namanya.
"Boleh tanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Ketua Hakim... malah (ada) arahan kepada mereka? Apapun tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong.
"Tapi jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai.
"Kalau bukti ada, aniaya macam mana? Ada orang kata (kes) Timbalan Perdana Menteri (tarik balik)? Kes Timbalan Perdana Menteri masih di mahkamah, saya tidak campur tangan.
"Tanya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara... bila masa saya campur tangan suruh kurang atau tarik balik pertuduhan.
"Soal tohmahan, kita jangan mudah menghukum, saya bukan kelas 'politician' yang murah sebegitu rupa, ini saya nak tegaskan di sini," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai tindakan kerajaan yang dikatakan memfokuskan kepada pembangkang dalam pendakwaan kes tatakelola tidak telus sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, siasatan SPRM ataupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah menyeluruh dan tidak tertumpu kepada satu-satu parti sahaja.
Malah katanya, rakyat perlu terima keadaan pendakwaan termasuk kes kapal tempur pesisir (LCS).
"Jangan (kata) kita ambil tindakan... oleh kerana LCS itu melibatkan orang-orang UMNO, kita gugur.
"Arahan saya ada, termasuk LCS dan saya menyatakan bahawa pendakwaan peringkat awal ada pendakwaan saya setuju ia tidak cukup kerana skandal itu adalah besar dan ketirisan berlaku.
“Mesti ada tindakan susulan... jawapan yang diberikan SPRM peringkat kedua itu diteruskan dan itu bukan urusan saya untuk mendalami dan tanya lebih daripada itu. Jika saya buat begitu, ada lagi tuduhan pendakwaan terpilih,’ jelas Awnar lagi.
#Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi #SPRM #Dewan Rakyat
;