Saya bersedia untuk diambil tindakan. Saya tidak akan minta maaf - Syed Saddiq
Dania Zainuddin
Disember 21, 2018 06:00 MYT
Disember 21, 2018 06:00 MYT
"Saya bersedia untuk diambil tindakan jika perbuatan saya salah. Saya tidak akan meminta maaf kerana menyuarakan pendapat saya!"
Itu yang ditegaskan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy selepas didakwa menghina kebijaksanaan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.
"Saya tidak masuk politik untuk play safe.
"Saya tidak masuk politik untuk jadi 'pak turut'.
"Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara," kata Syed Saddiq dalam akaun Facebook miliknya, pada Jumaat.
Sebelum ini, Ramasamy berkata tindakan perlu diambil terhadap Syed Sadiq kerana menghina kebijaksanaan Tun Mahathir mengenai pelantikan Waytha Moorthy dan menyokong desakan bagi peletakan jawatan Moorthy.
Dalam pada itu, Syed Saddiq juga cadangkan supaya Ramasamy memberi cadangan sama terhadap pimpinan lain yang turut menyuarakan tuntutan yang sama.
"Saya cadangkan YB Ramasamy untuk ambil tindakan ke atas Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin yang turut menyuarakan kebimbangan sama. Saya juga cadangkan Ramasamy ambil tindakan ke atas Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).
“Jangan lupa sekolahkan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin,” katanya
Tambah Syed Saddiq, Pemuda DAP sendiri pernah mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk meletakkan jawatan namun apabila ada kepemimpinan Armada membuat tindakan sama, sayap pemuda Bersatu itu dituduh mengkhianati Pakatan Harapan dan memainkan sentimen perkauman.
“Perkara ini tidak ada kena mengena dengan soal perkauman.
"Ini soal bersetuju untuk tidak bersetuju, bukan menekan hak rakyat menyatakan pendapat dengan bebas.
“Jadi YB (Ramasamy), jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini,” tegasnya.
#Amanah
#anak
#DAP
#Facebook
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Maszlee Malik
#menteri
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#pemuda
#pendidikan
#Perdana Menteri
#Permatang Pauh
#PKR
#politik
#PPBM
#rakyat
#Ramasamy
#Saddiq