"Saya akan tentang mereka yang cuba wujudkan 'mazhab' bersama DAP, Anwar" - Annuar Musa
Vivi Sumanti
Januari 3, 2021 15:37 MYT
Januari 3, 2021 15:37 MYT
TUMPAT: Setiausaha Agong Barisan Nasional, BN, Tan Sri Annuar Musa berikrar akan menentang mereka yang cuba membawa 'mazhab' baharu ke arah mewujudkan blok pembangkang bersama DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, UMNO tidak boleh menganggap DAP itu sebagai rakan politik mereka kerana perjuangan yang dibawa UMNO bertentangan dengan dasar DAP.
"Saya ingatkan kalau ada 'mazhab' baharu nak bersama DAP, nak bagi talian hayat kepada DAP, saya akan lawan. Saya jelas (menyatakan) bahawa DAP tidak boleh menjadi rakan politik UMNO.. No DAP and No Anwar Ibrahim.
"Saya nak cakap terus teranglah ya, ada satu gerakan dijalankan untuk bahagian-bahagian buat satu resolusi ke arah seperti mana yang dikatakan itu," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan keperluan asas di Hospital Tumpat pagi Ahad.
Semua pihak boleh memberikan pandangan namun ketetapan parti telah jelas menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar dan memperkukuhkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
"Rakyat sedang memerhatikan tindak tanduk pemimpin mereka. Jangan sampai ke peringkat rakyat menyampah kerana sering berpolitik dan bertukar-tukar pasangan," jelasnya.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, UMNO sekarang merupakan sebahagian dari kerajaan yang ada dengan peluang dan mandat yang diberikan sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat kepada rakyat.
"Jangan kerana kerana nak mengikut rasa dendam dan tidak puas hati sesetengah mereka yang tidak ada jawatan, maka terbawa-bawa untuk membuat jajaran baharu sedangkan jajaran baharu itu belum tentu baik dan bahagia.
"Ini ada gerakan nak tolak Pas, nak tolak Bersatu. Kalau semua nak tolak, UMNO nak pergi ke mana, nak bersendiri, nak tiga penjuru, apa penyelesaiannya?" katanya.
Berkaitan rakaman video yang dipercayai dalam satu mesyuarat di Bahagian Kuala Krai mengenai hasrat UMNO ingin bersama DAP dan Anwar, Annuar berkata: "Teruskan, tapi kalau terjadi sesuatu mereka kena ambil tanggungjawab
"UMNOpernah jatuh pada pilihan raya lalu. Apakah mereka ingin melihat UMNO jatuh lagi sedangkan UMNO sudah bersepakat dengan Pas dan Bersatu serta berada dalam saf yang baik," ujar beliau.
Tambahnya lagi, UMNO juga tidak boleh menganggap sebuah parti eksklusif dengan hanya berdua bersama Pas, sebaliknya perlu mengajak rakan lain termasuk Bersatu.