Saya akan bangkit isu dana politik hingga selesai - Syed Saddiq

Arfa Yunus
Januari 14, 2019 17:07 MYT
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berswafoto bersama belia-belia Tanah Tinggi selepas sesi dialog di Padang Golf Tanah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau akan terus membangkitkan isu dana politik kepada pimpinan tertinggi kerajaan sehingga selesai kesemuanya.
Katanya, ketika ini kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik agar satu keputusan dapat dibuat bersama.
"Sudah banyak kali saya bangkitkan dan kita mahu mencari mekanisme terbaik untuk diputuskan bersama dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
"Saya akan terus bangkitkan hal ini hingga selesai semuanya kerana selagi ia tidak selesai, masalah politik wang tidak akan habis," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PH di sini pada Isnin.
Tambah Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan, pindaan undang-undang yang menyeluruh adalah satu-satunya cara untuk membersihkan politik negara daripada kes-kes rasuah.
Pada Ahad, Saddiq menggesa kerajaan segera menggubal akta pembiayaan politik bagi memudahkan semua parti politik menguruskan dananya.
Sementara itu, mengulas mengenai persepsi pemimpin Pakatan Harapan menggunakan jentera kerajaan, Saddiq berkata beliau tidak mampu mengubah persepsi itu.
"Bagi saya, apa yang penting adalah mengikut undang-undang dah peraturan yang telah diberitahu oleh SPR.
"Segala jentera kementerian saya tinggalkan di sana (Putrajaya) dan ke sini dengan kereta sendiri. Saya akan tetap ikut undang-undang, tetapi saya tidak mampu mengubah persepsi orang," katanya.
#Cameron Highlands #dana politik #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PRK #Suruhanjaya Pilihan Raya #Syed Saddiq #Tanah Rata
;