Satu-satunya cara selamatkan ekonomi ialah dengan membendung COVID-19 - Majlis Presiden PH

Firdaus Azil
Februari 22, 2021 16:55 MYT
Mereka berpendapat bagi tujuan tersebut Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meningkatkan perbelanjaan untuk ujian saringan, rawatan, pengesanan kontak, dan pemberian vaksin COVID-19.
KUALA LUMPUR: Satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi negara ialah dengan membendung pandemik COVID-19 di negara ini, tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Dalam kenyataan hari ini, mereka berkata, bagi tujuan tersebut Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meningkatkan perbelanjaan untuk ujian saringan, rawatan, pengesanan kontak, dan pemberian vaksin COVID-19.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan antara 50,000 hingga 70,000 ujian saringan sehari ketika ini, masih melihat kadar positif sekitar 6 peratus.
“Jumlah ujian saringan ini perlu ditingkatkan lima kali ganda jika kita benar-benar mahu membendung pandemik ini.
“Untuk mengendalikan ujian pada jumlah ini untuk tiga bulan akan menelan belanja dalam RM2 bilion, iaitu satu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan pakej rangsangan ekonomi terkini, tetapi mampu meninggalkan kesan yang lebih mendalam,” menurut mereka lagi.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Dalam pada itu, mereka berkata, kegagalan mengendalikan krisis ekonomi yang sedang berlaku, akan memberi kesan yang lebih buruk kepada rakyat di negara ini, terutamanya golongan B40 serta M40 yang terjatuh ke dalam kategori B40.
Mereka berkata, ada keperluan segera untuk menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi, lebih daripada usaha yang sedang dilakukan ketika ini, yang pada pandangan mereka amat tidak mencukupi.
“Rakyat perlu dibantu dan pakej rangsangan tambahan sebanyak RM45 bilion diperlukan, iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang telah diumum awal tahun ini.
“Kami masih menunggu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengotakan janji bantuan kebajikan bulanan RM1,000 yang perlu dipanjangkan kepada golongan yang menganggur,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, mereka berkata, Kerajaan wajar menyediakan subsidi untuk sebahagian dari kos ujian untuk syarikat-syarikat secara tetap (sama ada sekali sebulan atau setiap dua minggu) terutama bagi syarikat-syarikat yang menggunakan pekerja asing yang tinggal di asrama beramai-ramai.
Kos kepada kerajaan untuk subsidi ujian-ujian saringan ini, menurut mereka lagi, sudah tentu lebih rendah berbanding kos kepada ekonomi yang ditanggung syarikat-syarikat, terutama PKS, sewaktu PKP 2.0.
“Sebagai contoh, industri pelancongan telah kehilangan pendapatan RM100 bilion pada 2020, dan keadaan masih sangat buruk di mana banyak pengusaha hotel dan pengendali pelancong terpaksa tutup kedai.
“Pelbagai sektor lain dari pembinaan ke runcitan turut terjejas. Program subsidi upah amat penting untuk majikan, kerana program ini membantu mereka mengekalkan jumlah pekerja, manakala subsidi bagi mengupah pekerja baharu perlu dinaikkan terutama bagi golongan muda yang merupakan antara kumpulan paling terkesan dalam krisis ini,” kata Majlis Presiden PH.
Menyentuh mengenai sektor pendidikan, mereka berpendapat negara bakal menyaksikan satu generasi anak muda Malaysia yang akan mengalami pengurangan pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi akibat gangguan terhadap proses pembelajaran mereka pada waktu pandemik COVID-19.
“Pelancaran DidikTV masih belum mencukupi dan adalah tidak mampu menggantikan pembelajaran secara bersemuka di sekolah.
“Yang lebih mengejutkan ialah pengumuman bahawa sekolah-sekolah akan mula dibuka bermula 1 Mac, yang telah memberi tekanan kepada ramai ibu bapa untuk menyiapkan perkakas sekolah, dan membuatkan mereka yang telah membeli komputer riba dan tablet tertanya-tanya apakah mereka boleh menggunakan duit yang telah dibelanjakan itu ke arah perkara-perkara lain,” kata mereka lagi.
Dasar membuat pengumuman tergempar seperti ini, menurut Majlis Presiden, wajib diberhentikan, dan kerajaan perlu menyatakan perancangan untuk menyelamatkan anak-anak ini yang disebut ‘generasi yang hilang’.
#Majlis Presiden #Pakatan Harapan #Kerajaan Perikatan Nasional #belanja #peruntukan #COVID-19 #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Mohamad Sabu #Lim Guan Eng #Anwar Ibrahim #rakyat #subsidi #pandemik #pelancongan #presiden #ekonomi #ujian saringan #vaksin
;