'Satu pengalaman baharu buat saya, tekad mainkan peranan efektif' - Saifuddin
Fareez Azman
Disember 3, 2022 11:00 MYT
Disember 3, 2022 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perlantikannya sebagai barisan kabinet.
Meskipun satu pengalaman baharu sebagai Ahli Dewan Negara, tekadnya ketika ini jelas Saifuddin memainkan peranan berkesan dan efektif dalam kementerian itu.
"Dalam perjalanan politik saya yang panjang tak lama 27 tahun ini kali pertama saya menduduki jawatan sebagai Ahli Dewan Negara saya pernah berada Ahli Dewan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan ini kali pertama.
"Baik Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara ini, saya faham ini tempat kita mengubal undang-undang sebagai ahli dewan tempat kita mainkan peranan untuk merangka semua rencana yang baik untuk membawa kebaikan kepada negara dan rakyat," katanya ketika ditemui media selepas mengangkat sumpah Senator Ahli Dewan Negara di Parlimen pada Sabtu.
Tambah Saifuddin lagi, beliau menganggap satu pengalaman baharu buatnya untuk meneraju kementerian itu.
"Jika ditanya tentang perasaan saya, saya anggap ini satu pengalaman baharu dan saya sentiasa mengambil ini sebagai proses saya belajar.
"Saya ucap terima kasih Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan dan juga Perdana Menteri yang mengusulkan nama saya.
"Saya bertekad sedaya mungkin memainkan peranan berkesan dan efektif. Kementerian ini besar, walaupun tugas hakiki keselamatan contoh anggota polis, tapi kita melihat aspek Jabatan Penjara, apa isu penjara, soal penjawatan kepada pegawai sebab dia closed service.
"Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) saya tahu di bawah sana sepanjang terlibat politik, aspek keberadaan dan siap siaga mereka bagus tapi aspek logistik sokongan masih perlu penambahbaikan," katanya lagi.
Mengulas lanjut jelas Saifuddin, beliau akan memberi fokus dan memahami fungsi setiap jabatan dan agensi dibawah kementerian itu.
"Begitu juga agensi lain, seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu penting, dia menjadi fokus dunia juga terhadap Malaysia.
"Saya baru balik Geneva beberapa bulan lepas dan bertemu dengan perwakilan tetap di sana, kalau disebut Malaysia di persada antarabangsa, apa isunya, isu soal layanan kecekapan mengurus migrasi itu jadi tumpuan.
"Saya tidak bermula dengan zero dalam memahami fungsi kementerian, saya juga anggota pentadbiran sebelum ini," katanya lagi.
Saifuddin antara empat Ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Tiga lagi ahli jemaah kabinet iaitu Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memegang portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Kementerian Luar), dan Datuk Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Agama).