Satu lawan satu: Selesaikan segera perundingan Pakatan Harapan - Azmin
Harits Asyraf Hasnan
November 13, 2016 18:18 MYT
November 13, 2016 18:18 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini fokus untuk menyelesaikan segera usaha menyatukan semua parti pembangkang dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui usaha itu tidak semudah yang disangka.
"Cabarannya adalah untuk meyakinkan semua pihak memastikan ada permuafakatan yang kuat dan utuh. Sudah tentu setiap parti ada pandangan masing-masing.
"Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan bukan kleptokrasi, kita mesti berperikemanusiaan untuk mendengar dan menerima perbezaan.
"Cuma persoalan sekarang, macam mana kita hendak uruskan perbezaan pandangan itu menjadi satu kekuatan baru dalam PRU akan datang," katanya ketika ditemui media pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2016 di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan tempoh tamat perundingan tersebut.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor turut yakin bahawa jika hasrat satu manifesto pembangkang berjaya dilaksanakan, ia bakal memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada pengundi.
"Kita mesti beri mesej yang jelas kepada pengundi bahawa pembangkang telah bersatu. Kita serius untuk mengubah dan mereformasi seluruh sistem di Malaysia.
"Kita akan selamatkan rakyat dan negara ini. Jadi dengan satu manifesto itu, maka ia akan banyak menyelesaikan kesulitan di peringkat akar umbi," ujarnya.
Justeru, beliau berharap setiap pemimpin di dalam Pakatan Harapan mengembeling usaha dalam menyatukan seluruh parti pembangkang di negara ini dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional pada PRU-14 akan datang.
#Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
#Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2016
#penyatuan parti pembangkang
#rundingan Pakatan Harapan
#Timbalan Presiden PKR