Satu lawan satu di PRK Seri Setia

Rahimah Abdullah
Ogos 18, 2018 10:39 MYT
Halimey (dua kiri) berarak bersama Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menuju Pusat Penamaan Calon PRK DUN Seri Setia di Dewan Sivik Petaling Jaya, 18 Ogos, 2018. Astro AWANI / SHAHIR
Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Seri Setia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar dan calon Pas, Dr Halimah Ali.
Pengumuman rasmi dibuat Pegawai Pengurus PRK Seri Setia yang juga Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.
Ia berikutan selama sejam tempoh serah borang tiada calon lain termasuk calon dari parti Bebas tampil menyerahkan borang.
PRK N32 Seri Setia bakal diadakan serentak dengan PRK Balakong pada 8 September ini dan akan menyaksikan 115 saluran mengundi berbanding 91 saluran pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.
Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu.
Mengikut rekod, Pakatan Rakyat berjaya menawan DUN Seri Setia menerusi Nik Nazmi Nik Ahmad selama dua penggal bermula 2008 sebelum Shaharuddin mengekalkan penguasaan pada PRU14.
Pada 9 Mei, Shaharuddin memperolehi undian majoriti sebanyak 19,372, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff M. Haniff, calon Pas, Mohd Daud Ghazali dan calon Bebas, S Vigneswaran.
BN memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada Pas.
#DUN #DUN Seri Setia #Halimah Ali #Halimey Abu Bakar #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya kecil #PRK Seri Setia #seri setia
;