Sasaran tumpaskan Pas, PH bertanding semua kerusi di Kelantan
Muhafandi Muhamad
Mac 2, 2018 09:59 MYT
Mac 2, 2018 09:59 MYT
Pakatan Harapan menyasarkan untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Pas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang dengan meletakkan calon di kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa, perundingan pembahagian kerusi melibatkan calon Pakatan Kelantan, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah selesai.
Senarai calon berkenaan juga sudah dihantar ke Majlis Presiden untuk diteliti.
Katanya, Majlis Presiden Pakatan akan bermesyuarat pada 7 Mac depan dan jika pihak pimpinan itu bersetuju dengan senarai calon yang dikemukakan, Pakatan akan mengumumkannya selepas itu.
"Alhamdullillah kita sudah selesai pembahagian kerusi. Penentuan calon akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi pusat. Amanah sudah senaraikan calon berwibawa dan mampu tadbir Kelantan," kata Husam.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mendahului majlis presiden untuk memaklumkan parti mana yang mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding di Kelantan sebaliknya ia akan diumumkan pimpinan Pakatan Harapan.
Katanya, Amanah Kelantan mempunyai ramai tokoh dan calon berwibawa untuk ditampilkan menentang sama ada Pas atau UMNO di Kelantan.
Tambahnya, senarai calon Pakatan Kelantan yang bakal ditampilkan itu juga dakwanya akan mengejutkan Pas Kelantan kerana sebelum ini mereka memperlekehkan kemampuan Pakatan di Kelantan.