Sarawak negeri kaya, tapi tidak dinikmati rakyat
Diyana Ibrahim
Disember 2, 2018 10:23 MYT
Disember 2, 2018 10:23 MYT
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sarawak sebuah negeri yang kaya tapi kekayaan itu tidak dinikmati rakyatnya.
Perdana Menteri itu berkata, ia dapat dilihat menerusi pembentangan belanjawan negeri di mana Sarawak mencatatkan peruntukan paling tinggi iaitu sebanyak RM11 bilion.
“Apabila sebuah negeri itu kaya, maka rakyatnya harus jadi kaya, tapi kalau wang yang banyak ini tidak diagih kepada rakyat, maka rakyat akan miskin,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Bersatu Sarawak di Dewan Suarah Bintulu.
Beliau berkata jika Pakatan Harapan memerintah Sarawak, maka parti gabungan itu berjanji akan mengagihkan kekayaan hasil negeri yang sama rata kepada rakyat.
“Ini yang kita tidak mahu lihat, itu kita percaya, kalau kita dapat mainkan dalam bidang politik, maka kita dapat tentukan kekayaan negeri dapat dipunyai oleh rakyat itu sendiri dan hidup mereka akan lebih mewah,” ujar beliau.
Selain itu, beliau mendakwa terdapat sesetengah wakil rakyat negeri itu bukan saja tidak mempedulikan rakyat bahkan ada yang menyeleweng peruntukan dana diberikan kerajaan pusat.
“Malangnya mungkin kerana negeri ni besar, mungkin wakil-wakil rakyat tak nampak sebab jauh, mungkin mereka tidak melawat kawasan mereka.
“Dengan itu kita lihat ada sekolah-sekolah yang saya diberitahu begitu teruk sekali, ada juga cadangan oleh kerajaan pusat, kononnya nak bekalan air, api elektrik tapi duit tu telah dicuri,” katanya di hadapan kira- kira 2,000 ahli Bersatu Sarawak.
Beliau berkata tidak mustahil Pakatan Harapan dapat menang di Sarawak kerana ia pernah dibuktikan dalam
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menumbangkan Barisan Nasional.
Bersatu secara rasmi dilancarkan pada Sabtu malam sekali gus mencatatkan sejarah sebagai sebuah parti daripadsa Semenanjung yang dapat bertapak di Sarawak.