Sarawak Memilih: Sekiranya pengecualian darurat diperkenan, Sarawak masih perlu yakinkan pengundi - Penganalisis

Astro Awani
Januari 23, 2021 17:12 MYT
Mandat DUN Sarawak yang bakal berakhir pada Jun 2021 dengan tempoh proklamasi darurat disebabkan pandemik COVID-19 menjadi dilema utama negeri tersebut bagi melaksanakan pilihan raya. - Gambar fail
KUCHING: Sarawak tetap akan berhadapan dengan cabaran utama iaitu untuk menyakinkan pengundi untuk turun mengundi sekiranya negeri itu diberi pengecualian daripada proklamasi darurat bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, meskipun jika Sarawak berjaya mengawal situasi COVID-19 di negeri itu, namun kekhuatiran pengundi ketika PRN12 perlu dipertimbangkan.
"Yang menjadi cabaran ialah, kalau PRN Sarawak ke-12 diadakan, bagaimana (kerajaan negeri) menyakinkan pengundi untuk memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab untuk turun mengundi?
"Harus diingat dalam pilihan raya negeri yang lalu iaitu pada 2016, Sarawak mencatatkan sekitar 70 peratus jumlah pengundi yang turun mengundi.
"Jadi adakah kita dapat mencapai (sasaran) jumlah itu lagi, lebih-lebih lagi (ketika ini) pengundi sedang dibelenggu kerisauan, kebimbangan dan ketakutan akibat ancaman virus maut ini?" katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu. ]
Dalam hal ini, ujarnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranan penting dalam mengatur strategi yang terbaik sekiranya PRN Sarawak ke-12 diadakan dalam situasi pandemik COVID-19.
"SPR perlu memikirkan langkah di luar kebiasaan dan kelaziman kerana kita berada di dalam satu keadaan yang luar biasa.
"Maka amalan-amalan ini perlu dikaji. Sebagai contoh, melaksanakan SOP yang lebih ketat, (memikirkan) tempoh masa mengundi," tambahnya.
BACA: Sarawak Memilih: GPS akan mohon pengecualian darurat jika COVID-19 terkawal - Masing
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing pada Jumaat memaklumkan bahawa Kabinet Sarawak telah melakukan perbincangan secara tidak formal berkenaan cadangan untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik perisytiharan darurat di negeri itu, sekiranya ia dapat mengawal penularan COVID-19.
Katanya, jika rayuan itu dipertimbangkan dengan baik maka ia akan membuka jalan untuk mengadakan PRN12 kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir Jun tahun ini.
#Sarawak Memilih #PRN-12 #Dewan Undangan Negeri Sarawak #DUN Sarawak #Tan Sri Dr James Jemut Masing #Felo Kanan Majlis Profesor Negara #Dr Jeniri Amir #TUDMperisytiharan darurat #pilihan raya negeri #Proklamasi Darurat
;