Sarawak: Adenan lantik 9 menteri penuh, 3 timbalan ketua menteri

Bernama
Mei 13, 2016 23:48 MYT
Adenan berkata beliau memerlukan semua bantuan yang beliau boleh dapatkan untuk membantunya mentadbir negeri dengan baik. -Gambar fail
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata beliau memerlukan semua bantuan yang beliau boleh dapatkan untuk membantunya mentadbir negeri dengan baik.
"Saya melantik sembilan menteri penuh termasuk tiga Timbalan Ketua Menteri.
"Kami telah menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 72 kepada 82 dan ini pastinya mewajarkan keperluan untuk mempunyai angka itu," katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri bagi mengumumkan nama dan portfolio mereka.
Sembilan yang dilantik sebelum itu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.
Tiga Timbalan Ketua Menteri ialah Datuk Amar Douglas Unggah Embas yang juga dilantik sebagai Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar negeri, Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang juga dilantik Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan negeri; dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang memegang dua portfolio, sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; dan Menteri Perumahan dan Urbanisasi.
Masing juga merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memenangi semua 11 kerusi yang ditandingi parti itu dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada Sabtu, manakala Abang Johari ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
"Saya sebenarnya perlukan lebih banyak menteri kerana tanggungjawab kerajaan kian besar tetapi apa yang ada pada saya ketika ini adalah memadai. Kami perlu meminda perlembagaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri jika kami mahu menambah jumlahnya," kata Adenan.
Mengenai pelantikan pembantu menteri, beliau berkata ia akan dilakukan tidak lama lagi selepas beliau meneliti dan melakukan beberapa penyesuaian.
Menjawab satu soalan, Ketua Menteri berkata beliau sebenarnya akan melantik seorang Timbalan Ketua Menteri Cina sekiranya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menang di kesemua 13 kerusi ditandinginya.
Parti itu hanya menang di tujuh kerusi dan Presidennya Datuk Prof Dr Sim Kui Hian dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan.
Mengulas lanjut, Adenan berkata beliau tidak pernah berjanji yang beliau akan melantik seorang Timbalan Ketua Menteri Cina seperti dilaporkan dalam media sosial tetapi hanya berkata yang beliau akan melantik menteri untuk mewakili masyarakat itu.
Katanya beliau telah melantik seorang lagi Anggota Dewan Undangan Negeri Cina, Datuk Seri Dr Wong Soon Koh, sebagai Menteri Kewangan Kedua.
Adenan menyifatkan pasukannya sebagai "barisan yang amat mantap" dan dengan menteri-menteri yang berkebolehan dan bersedia berkhidmat kepada rakyat dan telah membuktikan yang mereka masih mampu melakukannya.
Beliau berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, keutamaan kerajaan adalah terhadap transformasi luar bandar.
"Kini adalah masanya untuk melaksanakan apa yang dijanjikan, mengotakan janji yang telah dibuat," katanya.
Katanya beliau juga akan terus mengetengahkan isu royalti minyak dan gas dengan kerajaan persekutuan apabila harga minyak dunia bertambah baik.
"Tidak, kami tidak pernah lupakan isu ini. Sekiranya kerajaan Persekutuan telah lupa, kami akan terus mengingatkan mereka," katanya secara berseloroh.
Sementara itu, Adenan turut mengesahkan bahawa enam calon langsung BN telah memohon untuk menyertai PBB.
"Sukar untuk menolak apabila orang mahu menyertai anda, yang berfikiran sealiran. Tetapi kami telah meminta mereka untuk bersabar dahulu sebelum kami buat keputusan," katanya.
#Abdul Taib Mahmud #Adenan Satem #lantik sembilan menteri penuh #prilihan raya sarawak
;