Saravanan dilantik menteri setelah dua penggal sebagai Timbalan Menteri

Bernama
Mac 9, 2020 12:14 MYT
Setelah dua penggal memegang jawatan timbalan menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, tanpa disangka Datuk Seri M. Saravanan hari ini kembali semula ke dalam pentadbiran negara sebagai Menteri Sumber Manusia. - Astro AWANI/ Shahir Omar
Setelah dua penggal memegang jawatan timbalan menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, tanpa disangka Datuk Seri M. Saravanan hari ini kembali semula ke dalam pentadbiran negara sebagai Menteri Sumber Manusia.
Jajaran baharu landskap politik negara yang terbentuk apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada hujung bulan lepas membuka peluang kepada muka lama dan muka baharu menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam barisan jemaah menteri yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Saravanan, 52, yang juga timbalan presiden MIC bukan sahaja berpendalaman luas dalam arena politik negara tetapi juga dalam pentadbiran negara.
Ini terbukti apabila beliau pernah memegang portfolio penting sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2008 hingga 2013 dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018.
Dipilih sebagai Ahli Parlimen Tapah selama tiga penggal sejak 2008, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Negara dari 2000 hingga 2006.
Saravanan memenangi kerusi Parlimen Tapah untuk kali pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 selepas menewaskan calon PKR Tan Seng Toh dengan majoriti 3,020 undi.
Pada PRU ke-13, beliau menang dengan majoriti 7,927 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon PKR, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan calon Bebas.
Saravanan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tapah pada PRU-14 dengan menewaskan dua calon lain walaupun dengan majoriti tipis 614 undi.
Berikut adalah biodata Saravanan:
Nama: Datuk Seri M. Saravanan
Isteri: Datin Seri V. Kavitha
Tarikh Lahir: 04/02/1968
Tempat Lahir: Kampung Baru, Kuala Lumpur
Anak:
1. Dakshayani
2. Abetha
3.Arunagiri
Pendidikan:
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Fletcher, Kuala Lumpur
Sekolah Menengah Kebangsaan (L) Jalan Temerloh, Kuala Lumpur
Diploma Perniagaan dan Pentadbiran, Swansea Institute of Higher Education, Swansea, UK
Politik:
Ahli Dewan Negara (2000-2006)
Ahli Parlimen Tapah, Perak (2008-kini)
Kerjaya:
2006-2018 - Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan
2008-2013 - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan
2009- 2015 - Naib Presiden MIC
2013-2018 - Timbalan Menteri Belia dan Sukan
2018 - Timbalan Presiden MIC
-- BERNAMA
#Datuk Seri M Saravanan #kerajaan #Menteri Sumber Manusia #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #PRU #Saravanan