Saravanan berhasrat tanding jawatan Timbalan Presiden MIC
T K Letchumy Tamboo
Februari 17, 2015 16:15 MYT
Februari 17, 2015 16:15 MYT
Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan hari ini mengesahkan bahawa beliau berhasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti, di dalam pemilihan semula parti itu nanti.
Apabila ditanya adalah beliau akan bertanding untuk jawatan nombor dua itu, Saravanan memberitahu Astro AWANI beliau akan tetap bertanding dan itu adalah suatu perkara yang telah diketahui umum.
"Itu semua orang sudah tahu," katanya.
Namun demikian kata Saravanan, fokusnya ketika ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada masalah kepimpinan parti.
“Tetapi buat masa ini, isu yang penting adalah kepimpinan MIC. Saya tidak bertanding pun tidak apa, saya tidak ada masalah. Asalkan MIC dapat seorang pemimpin yang boleh menerajui parti ini ke peringkat yang lebih tinggi daripada sekarang,” katanya semasa satu sidang media hari ini.
Saravanan yang sebelum ini berhasrat untuk bertanding jawatan Presiden parti, berkata kini beliau hanya menyokong sepenuhnya Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang sebelum ini mengesahkan beliau akan bertanding jawatan tertinggi itu pada pemilihan semula.
Saravanan juga membidas pihak yang membesar-besarkan masalah dalaman MIC dan memberikan gambaran seolah-olah parti itu dalam keadaan teruk.
“Krisis seperti ini bukanlah satu perkara baru untuk negara ini. Jangan buat macam parti-parti lain tidak pernah ada krisis.
“Parti mana tidak pernah ada krisis di dalam negara ini? Ini bukan perkara baru di dalam Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang.
“Jangan beri gambaran macam MIC teruk. Masalah dalaman, gaduh dan sebagainya. Semua parti ada (mengalaminya) dan kami akan mengatasinya,” katanya.
Semasa menyentuh mengenai penubuhan sekretariat seperti dicadangkan pimpinan BN, Saravanan berkata, MIC pada ketika ini tidak bersetuju dengan sebarang campur tangan luar.
“Kami tidak setuju mana-mana pihak campur tangan di dalam urus tadbir MIC. Tetapi kami sedia menerima pandangan, cadangan dan nasihat dari BN sebagai konsep keluarga BN,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BNmencadangkan satu sekretariat khas ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut dalaman MIC, dimana dilaporkan Subramaniam telah bersetuju dengan cadangan itu.
Namun demikian, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel menolak cadangan itu.
Ini kerana beliau berkata, MIC mempunyai perlembagaan dan undang-undang parti yang membolehkan ahli-ahli parti sendiri menjalankan pemilihan tanpa campur tangan mana-mana pihak ketiga.
Subramiam pula menafikan telah memberi sebarang persetujuan kepada komponen BN yang lain untuk mentadbir urusan pemilihan parti.