Sanusi mohon maaf, perjelas dakwaan 'direhatkan'

Sinar Harian
Ogos 7, 2023 17:16 MYT
Beliau berkata, kesibukan menghadiri beberapa mesyuarat di ibu negara menyebabkan beberapa program ceramah yang dijadualkan sekitar Kedah terpaksa dibatalkan. - Gambar fail/Astro AWANI
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf atas ketidakhadiran beliau dalam dua program ceramah politik berturut-turut.
Beliau berkata, kesibukan menghadiri beberapa mesyuarat di ibu negara menyebabkan beberapa program ceramah yang dijadualkan sekitar Kedah terpaksa dibatalkan.
Menurutnya, ia tiada kaitan dengan spekulasi mendakwa dirinya ‘direhatkan’ oleh kepimpinan Pas Pusat gara-gara lantang bersuara dalam kempen ceramah pilihan raya negeri (PRN).
“Saya perlu hadir mesyuarat Pas Pusat dan beberapa mesyuarat lain di Kuala Lumpur. Saya pergi dengan kereta dan balik sampai lewat, sudah tentu tidak dapat hadir program yang sepatutnya saya dijadualkan hadir. Mana boleh, kena rehat lah,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Muhammad Sanusi juga menolak andaian pihak-pihak tertentu yang mendakwa beliau mengurangkan aktiviti kempennya disebabkan terdapat ugutan mahupun diberikan arahan mengunci mulut sehingga hari mengundi.
“Semua dakwaan di atas adalah tidak benar,” katanya.
Pada Ahad, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum mengakhiri Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) bersama MB Kedah di Taman Ria memaklumkan, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak hadir ke ceramah kempen tersebut bagi memastikan keselamatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu terjamin.
Ahli Parlimen Alor Setar itu mendakwa, Muhammad Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah berikutan faktor keselamatan bagi mengelak 'perangkap' yang dipasang oleh musuh politiknya.
Muhammad Sanusi menjelaskan, aspek keselamatan yang dimaksudkan adalah berkaitan langkah-langkah keselamatan yang diambil parti bagi mengelak kecelakaan.
“Keselamatan itu antaranya tak bolehlah bawa kereta laju-laju nak bagi cepat sampai. Pas Kedah ambil langkah-langkah keselamatan bagi mengurangkan aktiviti saya supaya tak terkejar-kejar ke sana sini. Macam-macam boleh terjadi dalam perjalanan.
“Namun ada juga pesanan-pesanan dan langkah-langkah (keselamatan) lain yang perlu dirahsiakan,” ujarnya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan tidak hadir ke program Sembang Santai Bersama Panglima Perang PN di Padang Awam Taman Serai Wangi, Padang Serai pada Sabtu, sebelum tular kononnya beliau ditahan oleh polis.
Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan berita yang mengatakan Muhammad Sanusi ditahan atau dipanggil untuk dirakam percakapan.
“Maaf tak dapat hadir (ceramah). Insya-Allah kita akan bertemu lagi. Kepada semua rakan dalam parti, kuatkan lagi kerja untuk menarik lebih ramai pengundi PN.
“Jangan lupa bermunajat kepada ALLAH SWT. Insya-ALLAH, kita akan sama-sama bertakbir dan bertasbih atas kemenangan kita pada 12 Ogos nanti,” jelas Muhammad Sanusi.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor #PRN #ceramah politik #mohon maaf
;