Sanusi jangan selesa jadi 'MB Kedah pintu belakang'- Pemuda UMNO Alor Setar
Abd Hadi Che Awang
Jun 3, 2022 16:56 MYT
Jun 3, 2022 16:56 MYT
ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar, mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk tidak terlalu selesa berada di jawatan berkenaan memandangkan ianya diperoleh bukan melalui mandat rakyat sebaliknya melalui 'pintu belakang'.
Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri menjelaskan nasib yang diterima Sanusi amat baik apabila berlaku huru-hara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini selain kekalahan Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ahmad Yahaya di Dewan Undangan (DUN) Negeri Alor Mengkudu, menyebabkan ADUN Jeneri itu dilantik sebagai Menteri Besar mengikut hierarki parti.
Syed Johan menyatakan sebagai pemimpin politik, Sanusi juga bertanggungjawab untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan setelah ditipu PH secara hidup-hidup di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang mempersoalkan kemampuan parti lain untuk menang dalam PRU-15 sekiranya diadakan dalam masa terdekat juga menggambarkan pemimpin itu terlalu selesa berada di kerusi empuk yang diperoleh secara percuma.
"Selesa sangatkah kerusi Menteri Besar itu pada Sanusi yang diperoleh tanpa mandat rakyat?
"Empuk kerusi MB itu menyebabkan Sanusi lupa pada prinsip demokrasi yang menetapkan sesebuah kerajaan itu ditadbir oleh pihak yang benar-benar diyakini dan diberi mandat oleh rakyat? Seronok sangatkah Sanusi jadi MB "pintu belakang" hingga lupa pada tanggungjawab itu?," soalnya ketika ditemui Astro AWANI.
Dalam pada itu, Syed Johan turut menegaskan bahawa jawatan serta kedudukan politik yang ada pada Sanusi bukan menjadi satu tiket untuk lupa akan hak memilih oleh rakyat negeri Kedah dan seluruh negara.
"Mungkin benar kerusi MB Kedah itu empuk, namun menafikan hak dan mandat rakyat itu akan ditanya Allah di akhirat kelak. Lainlah jika Sanusi sendiri sudah kemaruk dengan kerusi empuk yang diperoleh secara percuma itu,
"Kestabilan politik dan kerajaan adalah penting bagi pembangunan sesebuah negara atau negeri untuk mengembalikan kestabilan sesebuah negara atau negeri yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
"Paling utama, bukan soal "siapa" atau "parti" apa, namun lebih kepada sifat solidariti kemuafakatan parti yang membentuk sebuah pasukan Kerajaan yang diyakini dan menjadi pilihan rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen negara," tambahnya lagi.
Pada Rabu, Sanusi secara berseloroh mempersoalkan pihak yang sering mendesak untuk PRU-15 diadakan lebih awal berhubung kemampuan mereka untuk memenangi pilihan raya akan datang.
Beliau juga mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 wajar diadakan selepas tamat penggal kali ini iaitu selepas bulan Mei tahun hadapan.
Tambah ADUN Jeneri itu, keputusan kerajaan negeri Kedah juga kekal seperti negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat penggal ini.