Santhara keluar Bersatu tidak beri kesan pada parti - Hamzah

Abd Razak Mohd Ali
Julai 23, 2022 15:41 MYT
Santhara dilaporkan sudah menyerahkan surat menyatakan hasratnya itu kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, minggu lalu. - Gambar fail
LARUT: Tindakan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan memberi kesan kepada parti itu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zanuddin berkata, kekuatan parti tidak terletak pada individu, sebaliknya kepada keseluruhan ahli.
"Sebenarnya, ahli-ahli keseluruhan yang menentukan masa depan, bukan seorang Ahli Parlimen yang tentunya adalah perjuangan yang dibawa oleh semua ahli-ahli parti itu lebih mustahak.
"Ahli Parlimen kadang-kadang dia hanya mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja manakala ahli-ahli yang menentukan bahawa perjuangan parti, ideologi parti, segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau ditemui selepas sesi townhall sempena program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Perak, pada Sabtu.
Pada Jumaat, media melaporkan, Santhara yang juga Timbalan Menteri Pelancongan sudah menyerahkan surat menyatakan hasratnya itu kepada Hamzah minggu lalu.
Menurut laporan itu yang memetik sumber, langkah tersebut dibuat selepas beliau berasakan masa depannya sebagai Ahli Parlimen bukan Bumiputera dalam parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin gelap.
Sementara itu, mengulas mengenai logo baharu Perikatan Nasional (PN), Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, beberapa syarikat telah dilantik untuk mereka bentuk logo tersebut.
Katanya, pemilihan logo yang sesuai akan dibuat dalam mesyuarat tertinggi PN tidak lama lagi.
Baru-baru ini, Muhyiddin berkata, PN akan menggunakan logo baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
#Hamzah Zainuddin #Santhara Kumar #Bersatu #Politik Malaysia
;