#SandakanMemilih: Saingan lima penjuru rebut kerusi Parlimen Sandakan

Harits Asyraf Hasnan
April 27, 2019 10:39 MYT
Proses penamaan calon PRK Sandakan berlangsung di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan hari ini. - Foto Bernama
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru selepas diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohamad Hamsan Awang Supain.
PRK tersebut menyaksikan pertembungan antara calon DAP, Vivian Wong Shir Yee; calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga lagi calon bebas, Sulaiman Abdul Samat, Hamzah Abdullah dan Chia Siew Yung.
Proses penamaan calon PRK Sandakan berlangsung di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan, dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.
PRK itu diadakan susulan kematian bekas penyandang, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu.
Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Mendiang memenangi Parlimen Sandakan buat penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menerima 19,094 undi sekaligus menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Lim Ming Hoo yang menerima 8,996 undi.
Hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei ini.
#Barisan Nasional #DAP #Kota Kinabalu #PBS #pilihan raya kecil #Sandakan
;