#SandakanMemilih: Persaingan PRK Sandakan bermula hari ini
Harits Asyraf Hasnan
April 26, 2019 07:19 MYT
April 26, 2019 07:19 MYT
Siapakah yang layak bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Sandakan bakal diketahui hari ini.
Ia apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan supaya setiap parti mahupun individu yang berhasrat bertanding perlu mengemukakan Kertas Penamaan Calon Dalam tempoh satu jam iaitu antara pukul 9 hingga 10 pagi ini.
Proses penamaan calon yang akan berlangsung di Dewan Aktiviti Sekolah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supain.
Secara rasmi, dua parti politik mengumumkan calon masing-masing iaitu DAP yang mencalonkan anak bongsu kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, Vivian Wong.
Manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mendapat sokongan daripada lima buah parti mencalonkan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin.
Bagaimanapun, media menjangkakan beberapa individu juga akan menawarkan diri bertanding atas tiket bebas bagi merebut kerusi yang disandang Stephen Wong sebelum ini.
SPR sebelum ini menetapkan 11 Mei depan sebagai hari pengundian bagi PRK tersebut manakala hari pengundian awal pada 7 Mei.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon hari ini sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei depan.
Sementara itu, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah daftar pemilih induk tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 28 Mac lalu.
Daftar pemilih itu mengandungi pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, pengundi awal (270) dan pengundi tidak hadir luar negara (lima).
Pada PRK ini, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di 21 pusat mengundi melibatkan keseluruhan 92 saluran yang dibuka dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM3.1 juta.
PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas penyandang kerusi tersebut, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat meninggal dunia pada 28 Mac lalu selepas dikejarkan ke hospital akibat serangan sakit jantung.
Mendiang meninggalkan seorang balu, empat anak dan dua cucu.
Sementara itu, Stephen menyandang kerusi Parlimen P.186 Sandakan sejak 2013 dan memegang jawatan sebagai lantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas PRU-14 lalu.
Dalam PRU-14 yang lalu, mendiang menang atas tiket DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi.
#calon
#DAP
#Linda Tsen Thau Lin
#PBS
#penamaan
#pilihan raya kecil
#PRK Sandakan
#Sandakan memilih
#SPR
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Vivian Wong