#SandakanMemilih: 5 parti sokong PBS menentang DAP

Harits Asyraf Hasnan
April 26, 2019 19:02 MYT
Maximus (tengah) pada sidang media pengumuman calon PBS pada Jumaat. - Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan
Lima buah parti telah menyatakan sokongan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menentang DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan yang bakal berlangsung pada 11 Mei depan.
Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, lima buah parti itu adalah UMNO, MCA, USNO, STAR dan SUPP.
“PBS sangat berterima kasih kepada parti-parti yang mempunyai cawangan di sini yang telah menyatakan persetujuan untuk mereka bersama menyokong PBS.
“Buat masa ini, belum ada parti yang mengatakan tidak kepada kami. Jadi kami mohon sokongan khususnya kepada pengundi-pengundi di Sandakan,” katanya pada sidang media pengumuman calon PBS di sini hari ini.
Tambah Maximus, selain PBS merupakan parti yang berakar umbi di Sabah, keluh kesah dan kekecewaan rakyat pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 menjadi asas mengapa PBS memilih untuk bertanding pada kali ini.
“Sama seperti DUN dan Parlimen lain yang Pakatan Harapan tewas, isu memungkiri janji, masalah ekonomi negara, dan di Sabah pula isu keselamatan dan pendatang asing tanpa izin.
“Isu Perjanjian Malaysia 1963 merupakan isu asas yang diperjuangkan oleh PBS selama ini dan perlu diteruskan. Isu lain termasuklah isu ekonomi di Sandakan.
“Kalau ke pasar, ada yang kata dekat saya supaya bawa alat pembunuh lalat kerana perniagaan jatuh merudum selain tidak ada air di kebanyakkan kawasan di sekitar pasar. Ini adalah perkara asas,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap penduduk Sandakan memberi kepercayaan kepada Datuk Linda Then Tsau Lin yang mewakili PBS untuk merampas kerusi tersebut daripada DAP.
#DAP #Maximus Ongkili #MCA #PBS #politik #PRK Sandakan #Sandakan memilih #STAR #SUPP #UMNO #USNO
;